Search This Blog

Thursday, November 28, 2013

'Cucu menjerit nampak api'

'Cucu menjerit nampak api'  Salah seorang ahli keluarga mangsa melihat keadaan rumah yang terbakar. 

 KOTA BHARU - Jeritan cucu yang ternampak api bermula dari bahagian dapur, menyelamatkan seorang warga emas yang nyaris cedera dalam kebakaran di Kampung Peringat, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa, Hassan Awang, 81, sedang nyenyak tidur dalam biliknya, manakala cucunya, Najwa Zainalruddin, 4, masih lagi bermain di ruang tamu.

Hassan berkata, mujurlah cucunya menjerit selepas ternampak api dan dia yang berada di dalam bilik segera keluar.

“Alangkah terkejutnya saya apabila melihat api marak dan menyambar rak pinggan, yang kemudiannya merebak terus ke bahagian ruang tamu.

“Saya segera menyelamatkan diri bersama anak dan cucu," katanya kepada pemberita, semalam.

Hassan berkata, mujurlah semua 12 ahli keluarganya selamat memandangkan masing-masing sedang nyenyak tidur dan hanya Najwa serta menantunya sahaja yang ketika itu berjaga.

“Mujurlah suara cucu menyebabkan saya terjaga, jika tidak mungkin saya akan tercedera berikutan api begitu marak sehingga memusnahkan kediaman pusaka yang didiami sejak 30 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Abdul Jalil Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 12.23 tengah malam dan tiba di lokasi kejadian pada jam 12.40 tengah malam.

“Dengan tiga jentera bomba dan kekuatan 22 anggota, kita berjaya kawal api daripada merebak walaupun ketika tiba, rumah telah terbakar 100 peratus.

"Kita masih menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian," katanya.

No comments:

Post a Comment