KUALA KANGSAR – Seorang lelaki lari lintang pukang sebaik melihat kepulan asap dari kawasan kediamannya di Kampung Kledang, Kota Lama Kanan, di sini kerana menyangka rumahnya terbakar.

Bagaimanapun Shamsul Ariffin, 33, lega apabila mengetahui asap dan api itu berpunca dari sebuah rumah kosong yang terletak kira-kira lima meter dari rumahnya.

Menurutnya, kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.45 petang, kelmarin hampir menyebabkan dia putus harapan.

“Syukurlah kerana sangkaan saya tidak tepat, ketika kejadian, saya baru pulang mengambil isteri bekerja, dari jauh sudah nampak asap tebal.

“Tanpa sempat buat apa-apa, saya tinggalkan kenderaan tepi jalan lalu berlari ke  rumah kerana bimbangkan keselamatan ibu yang berada di dalamnya,” katanya.

Shamsul berkata, dia juga bernasib baik apabila van yang diletakkan hampir rumah kosong itu terselamat.

Katanya, rumah kayu setingkat itu dipercayai tidak berpenghuni sejak 10 tahun lalu.

Sinar Harian difahamkan, kebakaran berkenaan berkemungkinan berpunca daripada tindakan seorang kanak-kanak yang membakar kekabu dalam rumah itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Ismail Darus berkata, punca kebakaran masih menyiasat.

Katanya, 16 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan kebakaran dapat dipadamkan pada jam 5.37 petang.

“Hampir  80 peratus rumah tersebut terbakar, tiada kemalangan jiwa dilaporkan memandangkan rumah itu tidak berpenghuni,” katanya.