Search This Blog

Wednesday, November 13, 2013

Bekas pengikut dakwa tak dendam


Kuantan: “Saya tidak lagi mengamalkan ajaran Tuhan Harun sejak ditahan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) April lalu dan langsung tidak pernah bertemu Harun sejak itu,” kata seorang bekas pengikut ajaran sesat itu yang hanya mahu dikenali sebagai Rahim.

Rahim, 31, berkata, tidak wajar sesetengah pihak menuduh bekas pengikut ajaran itu mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa JAIP Ahmad Raffli Abdul Malek, Ahad lalu hanya kerana mereka pernah tersalah memilih jalan hidup.


Menurutnya, dia seorang daripada 31 pengikut yang ditahan bersama ketua ajaran itu, Harun Mat Saat, 47, dalam serbuan di sebuah premis di Lorong Pandan Damai, di sini, pada 5 April lalu dan tangkapan itu memberi pengajaran kepadanya apa yang diamalkan salah di sisi hukum syarak.

“Tetapi tidak sedikit pun wujud rasa dendam atau marah tersemat dalam hati terhadapnya (Ahmad Rafli Abdul Malek) kerana penahanan itu sebaliknya sedar ia tugasnya sebagai penguat kuasa.


“Tuduhan yang mengatakan kami ada kaitan dengan kes itu tidak berasas hanya semata-mata kerana arwah pernah mengendalikan kes kami,” katanya.


Dia yang berada di Kuala Lumpur turut memberitahu akan hadir memberi keterangan kepada polis dalam masa terdekat.

Seorang lagi pengikut yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 30, berkata, dia terkejut dengan kejadian yang menimpa Ahmad Rafli dan tidak terfikir pengikut Tuhan Harun mampu bertindak sejauh itu.


“Saya turut sedih dan bersimpati kepada keluarga arwah. Atas dasar itu juga saya terpanggil tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini bagi memberi keterangan dan membantu siasatan semampu yang boleh,” katanya yang hadir ke IPD jam 12 tengah hari, semalam.

Ditanya sama ada mengenali lakaran wajah seorang lelaki yang diedarkan pihak polis semalam, Ahmad memaklumkan tidak pernah melihat atau mengenali suspek.


“Saya tidak pernah melihat atau mengenali lelaki dalam lakaran itu dan setahu saya tiada seorang daripada 31 pengikut Tuhan Harun yang mempunyai persamaan dengan wajah suspek kes itu,” dakwanya. Ahmad berkata, selepas ditahan dia sudah tidak lagi menyertai atau mengikuti apa-apa aktiviti berkaitan kumpulan Tuhan Harun.


“Aktiviti harian lebih tertumpu kepada kerja saya sebagai komposer lagu malah saya sudah lama tidak menemui mahupun menghubungi Harun,” katanya.


Akhbar semalam melaporkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta 31 pengikut ajaran itu tampil menyerah diri bagi membantu siasatan polis sebelum ditangkap pihak berkuasa.

No comments:

Post a Comment