Search This Blog

Thursday, November 28, 2013

Bekas banduan mengaku rogol

SINAR HARIAN
28 November 2013

JOHOR BAHRU - Seorang bekas banduan dijatuhi hukuman 20 tahun dan 16 sebatan selepas mengaku bersalah di mahkamah sesyen, di sini, atas dua pertuduhan merogol pada September dan Oktober lalu.

Tertuduh, Sazali Darus baru dibebaskan daripada hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan atas kesalahan sama pada 2001, membuat pengakuan bersalah itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Muhammad Jamil Hussin.

Bagi pertuduhan pertama, Sazali yang tidak diwakili peguam bela didakwa merogol seorang gadis berusia 19 tahun di sebuah hotel di Taman Tebrau Jaya di sini kira-kira jam 7.05 malam hingga 8.30 malam, 12 September lalu.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di hotel sama, kira-kira jam 11.30 malam hingga 12.30 malam, 26 Oktober lalu.

Sazali didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh kerana masih tidak insaf atas kesalahan yang dilakukannya sebelum ini.

Katanya, hukuman berat perlu kerana tertuduh adalah seorang yang berbahaya dan tidak boleh berada berdekatan masyarakat, selain menjadi teladan kepada masyarakat.

Muhammad Jamil kemudian menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan lapan sebatan terhadap kedua-dua pertuduhan dengan setiap hukuman dilaksanakan secara berasingan.

No comments:

Post a Comment