Search This Blog

Saturday, November 16, 2013

Bayar pampasan RM580,000


Kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh anak saya menyebabkan saya sudah mengeluarkan wang simpanan sebanyak dua bilion rupiah. Ahmad Dhani Komposer dan penyanyi tersohor Indonesia
JAKARTA 15 Nov. - Komposer dan penyanyi tersohor Indonesia, Ahmad Dhani mengakui beliau sudah membelanjakan wang sebanyak dua bilion rupiah (RM580,000) sejak hari pertama anaknya, Abdul Qodir Jaelani terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Ahmad Dhani berkata, jumlah itu digunakan bagi membiayai rawatan perubatan 13 mangsa yang terselamat dalam kemalangan itu dan sumbangan derma kepada tujuh mangsa korban nahas pada awal pagi 8 September lalu.
"Kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh anak saya menyebabkan saya sudah mengeluarkan wang simpanan sebanyak dua bilion rupiah. Saya lakukan semua ini kerana mahu bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku dan bukan kerana mahu melarikan diri daripada menerima hukuman," katanya.
Walaupun dikenali sebagai seorang artis yang memiliki kekayaan hasil daripada kerjaya seninya, Ahmad Dhani mengeluh wang simpanannya sudah habis digunakan untuk menangani kes anaknya itu.
Ahmad Dhani mengakui, dia tanpa malu meminta ihsan daripada stesen televisyen RCTI untuk memberikan wang pendahuluan pembayaran sebagai juri Indonesian Idol sebelum musim baru program pencarian bakat itu bermula.
"Saya menghubungi pengurusan RCTI untuk meminta mereka membayarkan wang pendahuluan untuk Indonesian Idol kerana saya perlu menggunakannya untuk mangsa kemalangan jalan raya yang perlu menjalani pembedahan," kata Ahmad Dhani.
Kes kemalangan jalan raya pada 8 September lalu itu mencetuskan tanda tanya kerana anak Ahmad Dhani itu, Abdul Qodir hanya berusia 13 tahun tetapi sudah memandu kereta dengan kelajuan berbahaya.
Kereta yang dipandu Abdul Qodir melanggar tiga kereta lain dari arah bertentangan menyebabkan tujuh orang meninggal dunia.
Ahmad Dhani juga memberitahu, berikutan terpaksa membiayai rawatan perubatan mangsa-mangsa yang terselamat dalam kemalangan jalan raya itu, rawatan untuk Abdul Qodir terpaksa dilupakan buat sementara waktu.
"Saya sudah tidak punya wang untuk memberikan rawatan perubatan yang selanjutnya pada anak saya. Seandainya dia perlu dimasukkan ke penjara, saya tidak boleh melakukan apa-apa," kata Ahmad Dhani. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131116/lu_04/Bayar-pampasan-RM580000#ixzz2kmLWYKWP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment