Search This Blog

Wednesday, November 13, 2013

Bapa berdebar lepas solat Subuh


Oleh Norul Awatif Romli

Kuala Lumpur: “Saya tak sangka apa yang merisaukan selama ini benar-benar berlaku. Selepas solat Subuh tadi (semalam), hati tiba-tiba berdebar dan terus berdoa semoga semua anak selamat dan dijauhi sebarang malapetaka.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 9 pagi, saya terkejut menerima panggilan telefon daripada anak memaklumkan abangnya terbabit kemalangan,” kata Zulkifli Din, 55, semalam.


Menurutnya, sebelum kejadian, anaknya, Zulfadhli, 25, jurugambar Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dalam perjalanan dari rumah sewanya di Taman Medan, Petaling Jaya menuju Mahkamah Syariah Petaling Jaya bagi membuat liputan.

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di simpang tiga Persiaran Fajar, Subang Bestari di sini, motosikal Yamaha LC ditunggangi anaknya dirempuh Perodua Myvi putih dipandu seorang wanita berusia lewat 20-an.


“Sejurus menerima panggilan itu, saya dan isteri bergegas ke Hospital Sungai Buloh dan bersyukur kerana Along selamat dan hanya cedera di lutut dan retak tulang leher,” katanya.


“Along memang meminati motosikal terutama Vespa. Motosikal berkenaan pun baru dibeli daripada bapa saudaranya beberapa minggu lalu.

“Sebagai bapa, saya tidak dapat menghalang minatnya, namun sentiasa menasihatkannya sentiasa berhati-hati ketika menunggang. Kali terakhir berjumpanya saya sempat berpesan supaya berhati-hati apabila menunggang motosikal baru,” katanya.


Menurutnya, anaknya itu kemudian dirujuk ke Pusat Perubatan Tropicana untuk rawatan lanjut dan akan menjalani pembedahan mengeluarkan serpihan tulang lutut kira-kira jam 8 malam tadi.

Sementara itu, saksi kejadian, R Venthan, 38, ketika kejadian dia dalam perjalanan menuju tempat kerja kira-kira 200 meter dari lokasi itu sebelum melihat mangsa dirempuh kereta berkenaan yang memasuki simpang secara mengejut.


“Ketika kejadian, saya berhenti di simpang tiga sebelum datang sebuah kereta dan terus membelok ke kanan memasuki simpang itu. Mangsa yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu dirempuh.


“Akibat rempuhan itu, mangsa melekat pada cermin sisi kiri dan bonet kereta berkenaan. Orang ramai yang menyaksikan kejadian terus membantu dan menghantar mangsa ke hospital,” katanya.

No comments:

Post a Comment