Search This Blog

Saturday, November 16, 2013

‘Ayah tak bergerak’


Bachok: “Ayah kena tembak banyak kali, selepas itu dia tak bergerak,” kata Che Muhammad Danial, 6, anak kepada Alias Yusoff, 58, yang mati ditembak dari jarak dekat kira-kira 50 meter dari rumahnya di Pengkalan Petah, dekat sini, kelmarin.
Kejadian berlaku ketika mangsa dan anaknya menunggang motosikal selepas selesai berniaga di pasar malam, jam 8.45 malam.
Alias mati di tempat kejadian selepas tembakan dilepaskan seorang lelaki yang membonceng sebuah motosikal. Satu das tembakan menembusi bahagian kanan kepala manakala dua das lagi mengenai perut kanan.

Che Muhammad Danial pula bengkak di kepala selepas terjatuh daripada motosikal.
Foto
ANGGOTA polis bersedia membawa jenazah untuk dibedah siasat.
Menurutnya, dia melihat dengan jelas pembonceng motosikal mengeluarkan pistol dan menembak ayahnya beberapa kali.
Katanya, selepas ayahnya ditembak dia berlari ke tepi jalan dan melihat arwah terbujur kaku di atas jalan.

Dia bagaikan belum mengerti apa yang berlaku, namun beberapa kali berkata: “Ayah dah mati bokali (barangkali).”

Isteri Alias, Jawiah Che Mat, 41, berkata, sebelum kejadian dia menaiki van bersama dua lagi anaknya, Che Muhammad Abdul Achik, 9, dan Nur Lidiya Nabila, 2, pulang daripada berniaga pasar malam.

Menurutnya, Alias dan Che Muhammad Danial menyusul di belakang dengan menunggang motosikal Honda C70.

“Saya sampai dulu di rumah dan ketika meletakkan van, saya nampak dua lelaki menunggang sebuah motosikal memakai topi keledar meninjau sekeliling van, kemudian mereka pergi ke arah Bachok.

“Selepas itu saya melihat dua lelaki itu berselisih dengan motosikal ditunggang suami dan anak saya sebelum mereka membuat pusingan U.

“Saya lihat dua lelaki itu merapati suami dan sejurus berpaling ke arah van, saya dengar bunyi tembakan beberapa kali,” katanya.

Jawiah berkata, selepas itu dia mendapati suaminya terbaring di atas jalan raya manakala Che Muhammad Danial berlari ke tepi jalan.

“Ketika itu, jalan memang sunyi dan saya terus meluru ke arah suami dan mendapati dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Jawiah berkata, sepanjang pengetahuannya, suaminya tidak mempunyai musuh dan menyerahkan kepada polis melakukan siasatan.

Alias dan Jawiah berniaga makanan dan minuman di pasar malam Pengkalan Petah, 200 meter dari rumah mereka.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Assisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, motif kejadian masih disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu untuk dibedah siasat dan pihaknya akan melakukan siasatan dari semua sudut untuk mengenal pasti suspek dan menyelesaikan kes berkenaan.

No comments:

Post a Comment