Search This Blog

Sunday, November 3, 2013

AS digesa gugurkan tuduhan intipan


Edward Snowden

WASHINGTON 2 Nov. - Bekas kontraktor Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) Amerika Syarikat (AS), Edward Snowden meminta bantuan antarabangsa supaya memujuk Amerika menggugurkan tuduhan pengintipan ke atasnya.
Perkara itu didedahkan selepas seorang Ahli Parlimen Jerman, Hans-Christian Stroebele mengedarkan sepucuk surat semalam setelah beliau mengadakan pertemuan dengan Snowden di Moscow.
Stroebele dalam satu sidang media berkata, Snowden mahu memberi keterangan di hadapan Kongres AS tentang pengawasan NSA dan mungkin bersedia membantu pegawai Jerman menyiasat dakwaan pengintipan AS di negara itu.
Bagaimanapun bekas kontraktor NSA tersebut dalam suratnya membayangkan, semua perkara itu tidak akan berlaku melainkan AS menggugurkan tuduhan pengintipan ke atasnya, satu perubahan dasar yang tiada petanda akan dibuat oleh pentadbiran Presiden Barack Obama.
Pertemuan antara Stroebele dan Snowden semalam berlangsung seminggu selepas dakwaan oleh majalah Der Spiegel bahawa NSA memantau telefon bimbit Canselor Jerman, Angela Merkel, tindakan yang membuatkan pemimpin Jerman itu membuat aduan sendiri kepada Obama.
Snowden berkata, dia tidak lagi memiliki kelengkapan NSA bersamanya namun pengetahuannya dalam usaha pengintipan AS boleh dianggap bernilai kepada negara-negara lain.
"Snowden menegaskan bahawa dia aktif dalam perkhidmatan risikan AS, NSA dan Agensi Perisikan Pusat (CIA), bukan hanya sebagai seorang pentadbir atau yang mempunyai akses kepada komputer, namun juga terlibat dalam operasi.
"Dia juga memaklumkan, dia mengetahui banyak maklumat tentang struktur dalaman yang bermakna dia mampu mentafsir dan menjelaskan tentang kesemua dokumen," kata Stroebele.
Malaysia merupakan antara negara yang membantah tindakan pengintipan oleh AS selain Indonesia, Brazil, Jerman, Perancis dan Mexico. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131103/lu_06/AS-digesa-gugurkan-tuduhan-intipan#ixzz2jWTsXgwt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment