Search This Blog

Monday, November 4, 2013

Anak temui mayat bapa dipercayai dibunuh


TELUK INTAN 3 Nov. - Kegembiraan seorang remaja untuk bertemu bapanya pada pagi Hari Deepavali bertukar pilu apabila lelaki itu ditemui mati dipercayai dibunuh di rumahnya di Taman Cemerlang, Hutan Melintang dekat sini pagi semalam.
Mayat mangsa, R. Kanavathi, 38, ditemukan oleh anaknya K. Elavarasan, 14, yang baru pulang dari rumah saudara mereka di Klang, Selangor, pukul 10.30 pagi.
Difahamkan, Kanavathi tinggal berseorangan di rumah itu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, ketika ditemukan, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori hanya memakai baju T putih dan berseluar dalam.
"Anaknya itu baru pulang dari Klang dan sebaik sahaja dia sampai di rumah tersebut, dia melihat mangsa di atas sofa dalam keadaan berdarah.
"Remaja itu menghubungi bapa saudaranya untuk memaklumkan tentang kejadian dan pihak Klinik Hutan Melintang yang sampai di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya di sini hari ini.
Menurut Kok Liang, siasatan awal pihaknya mendapati terdapat kesan luka akibat tetakan di bahagian bahu, lengan dan tangan kiri mangsa selain dua batang giginya tercabut.
Kata beliau, mangsa juga mengalami pendarahan di bahagian mulut.
"Pihak forensik telah dipanggil untuk melakukan siasatan lanjut dan bedah siasat akan dilakukan ke atas mayat mangsa bagi mengetahui punca kematiannya.
"Setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131104/je_04/Anak-temui-mayat-bapa-dipercayai-dibunuh#ixzz2jcRESZGM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment