Search This Blog

Saturday, November 30, 2013

Anak guam dipukul polis


Jamil Mohamed Shafie menunjukkan dua salinan laporan polis berhubung dakwaan anak guamnya dipukul polis ketika direman dalam sidang akhbar di Kangar, Perlis semalam.
KANGAR 29 Nov. - Seorang peguam, Jamil Mohamed Shafie mendakwa anak guamnya dipukul pihak polis semasa ditahan di rumahnya di Kampung Tambun Tulang, Arau dekat sini pada 21 November lalu.
Menurutnya, akibat tindakan tersebut, anak saudara kepada seorang menteri itu mengalami kecederaan termasuk lebam di muka dan cedera di belakang badan.
Jamil berkata, pihaknya cuma mengetahui anak guamnya berusia 33 tahun itu ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes dadah melalui abang lelaki berkenaan yang melawat adiknya ketika dalam tahanan, Rabu lalu.
"Ketika itu, anak guam saya dalam keadaan menangis dan telah memberitahu abangnya bahawa dia dipukul kerana enggan mengaku penglibatannya dalam kes tersebut," kata Jamil kepada pemberita di sini hari ini.
Kata beliau, anak guamnya ditahan di rumahnya tetapi keluarganya tidak diberi penjelasan mengenai penahanan tersebut.
Jamil berkata, selepas ditahan, keesokannya pihak polis telah pergi ke rumah anak guamnya sekali lagi dan merampas sebuah motosikal yang didaftarkan atas nama menteri berkenaan.
"Sehingga kini polis gagal memberi penjelasan mengenai kesalahan anak guamnya dan mengklasifikasikan kes tersebut," ujar beliau.
Jamil menambah, pihaknya berharap anak guamnya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan motosikal yang dirampas dipulangkan.
Katanya, kes tersebut telah dikemukakan kepada pihak mahkamah dan berharap majistret menggunakan kuasanya bagi mengarahkan supaya siasatan dijalankan.
Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Zull Aznam Haron ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan lelaki tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131130/je_03/Anak-guam-dipukul-polis#ixzz2mDgd2hgQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment