Search This Blog

Saturday, November 23, 2013

Aktiviti rahsia kilang kitar semula


Abd. Manaf Abd. Razak (dua dari kiri) dan beberapa anggota polis melihat enjin kenderaan yang sudah dileraikan di sebuah kilang kitar semula di Mukim Labu, Sepang, semalam.
SEPANG 22 Nov. - Berselindung di sebalik kilang kitar semula, sebuah premis di Mukim Labu di sini rupa-rupanya menjadi lubuk bagi pencuri kereta untuk menjual kenderaan curi dengan harga yang lumayan.
Lebih mengejutkan, dalang yang membeli kenderaan curi tersebut adalah pemilik kilang itu sendiri iaitu seorang wanita berusia 43 tahun.
Kegiatan kilang sejak 2011 itu bagaimanapun terbongkar selepas diserbu sepasukan polis dalam Op Cantas Khas Lejang pukul 9 pagi ini, bertindak hasil maklumat dan risikan.
Turut ditahan wanita yang juga pemilik kilang berkenaan dan lima pekerjanya ketika sedang leka meleraikan empat buah kenderaan curi selain seorang penjual.
Ketua Penolong Pengarah Risikan Jenayah (D4), Operasi dan Rekod Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Komisioner Abd. Manaf Abd. Razak berkata, siasatan awal percaya semua komponen kenderaan ditemui di premis itu dipercayai dicuri termasuk sebuah kereta baru dilaporkan hilang di Klang awal pagi ini.
Beliau bagaimanapun tidak dapat menganggarkan jumlah kereta dicuri kerana kesemua rangka kenderaan yang siap dileraikan telah dimampat untuk dijual sebagai besi buruk.
"Kita percaya komponen kenderaan yang diperoleh akan dijual kepada pembeli tertentu di Lembah Klang.
"Kita tidak menolak kemungkinan premis ini telah lama dijadikan pusat peleraian bagi kenderaan curi malah terkenal dalam kalangan pencuri kereta," katanya di lokasi kejadian di sini hari ini.
Difahamkan, kilang itu menjadi pilihan pencuri kereta kerana bayaran diberikan adalah tinggi bermula daripada RM500 bagi setiap kenderaan dijual.
Abd. Manaf berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan atas kesalahan membantu melupus harta curi dan sabit kesalahan membawa hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131123/je_02/Aktiviti-rahsia-kilang-kitar-semula#ixzz2lSUPn1Ic
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment