Search This Blog

Friday, November 29, 2013

578 aduan kes tipu gores, menang



HASAN (kanan) berbual dengan murid-murid yang menerima bantuan persekolahan sempena Program Jualan Kembali Ke Sekolah di Kuala Pilah semalam.


KUALA PILAH – Sebanyak 578 aduan penipuan membabitkan peraduan gores dan menang di seluruh negara dilaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
Menterinya, Datuk Hasan Malek memberitahu, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah aduan tertinggi iaitu 185 kes diikuti Johor 125 kes dan Negeri Sembilan sebanyak 86 kes.
“Semua aduan yang diterima ini akan disiasat dengan teliti dan kita akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang yang sedia ada terhadap pihak terbabit.
“Saya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak tertipu dengan tindakan syarikat tidak bertanggungjawab ini serta segera melaporkan kegiatan ini kepada pihak berkuasa,” katanya selepas merasmikan Program Jualan Kembali Ke Sekolah di Pasar Raya Giant di sini semalam.
Hasan berkata, modus operandi mereka yang menjalankan kegiatan itu biasanya akan cuba mendekati mangsa di kawasan tumpuan ramai seperti di pasar raya dan tempat letak kereta selain kawasan kampung.
Pada majlis itu, Hasan yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah turut menyampaikan bantuan persekolahan kepada 106 murid sekolah yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment