Search This Blog

Sunday, November 3, 2013

500 penumpang terkandas


PASUKAN Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar berjaya memadamkan kebakaran melibatkan Ekspres Senandung Langkawi di Kilometer 133, Kampung Bendang Selinsing, Simpang Beluru, Kuala Kangsar, Perak, semalam.
KUALA KANGSAR 2 Nov. - Perjalanan kira-kira 500 penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Padang Besar ke Kuala Lumpur, tergendala apabila kepala kereta api Ekspres Senandung Langkawi yang mereka naiki terbakar, awal pagi ini.
Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 3.39 pagi di Kilometer 133, Kampung Bendang Selinsing, Simpang Beluru dekat sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Ismail Darus berkata, sebuah jentera bomba bersama sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima laporan berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, keadaan yang gelap telah menyukarkan pihaknya untuk mengenal pasti laluan ke lokasi kejadian sehingga menyebabkan mereka terpaksa berjalan kaki untuk sampai ke tempat tersebut.
"Sebaik sahaja sampai di lokasi kejadian, pemandu tren dilihat cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api sebelum dibantu pula oleh pasukan bomba menggunakan 18 unit alat pemadam sama.
"Kebakaran hanya berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 6.15 pagi selepas kita berjaya mengenal pasti laluan untuk membawa jentera bomba ke lokasi tersebut," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Ismail berkata, ketika proses memadam kebakaran dijalankan, semua penumpang kereta api 13 gerabak itu dibenarkan berada dalam pengangkutan berkenaan.
Beliau berkata, ini kerana kebakaran tersebut hanya melibatkan lokomotif dan tidak merebak ke bahagian lain
Katanya, lokomotif yang terbakar telah dibawa ke stesen KTMB Sungai Siput, manakala gerabak yang dinaiki penumpang dipisahkan dan dibawa ke stesen KTMB Kuala Kangsar.
"Punca kejadian masih belum diketahui dan siasatan lanjut akan dijalankan berhubung insiden tersebut," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131103/je_01/500-penumpang-terkandas#ixzz2jcRhaK8V
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment