Search This Blog

Saturday, November 23, 2013

47 terbunuh bumbung pasar raya runtuh


RIGA 22 Nov. - Sekurang-kurangnya 47 orang termasuk tiga ahli bomba maut dan 38 orang lagi cedera apabila sebahagian besar bumbung sebuah pasar raya di Latvia, di sini hari ini, runtuh ketika dipenuhi ramai pengunjung.
Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam kenyataannya menjelaskan, kejadian itu berlaku pada pukul 6 petang (12 tengah malam waktu Malaysia) apabila kira-kira 500 meter persegi bumbung pasar raya Maxima runtuh.
Jelas kenyataan terbabit, runtuhan menyebabkan sebahagian besar dinding dan hampir semua cermin depan bangunan itu musnah.
Jumlah mangsa yang terperangkap masih belum diketahui, namun laporan awal agensi berita RIA Novosti yang memetik kenyataan Datuk Bandar Riga, Nils Usakovs melaporkan, kira-kira 70 orang masih berada dalam bangunan terbabit.
Rakaman televisyen tempatan menunjukkan pasar raya terbabit dikelilingi beberapa buah trak bomba dan ambulans, manakala pasukan penyelamat menggunakan tuil besi untuk mengalihkan runtuhan bagi mencari mangsa yang terperangkap.
Lebih 60 askar turut dikerah membantu operasi menyelamat selain penggunaan anjing pengesan oleh pihak polis bagi mencari mangsa yang terselamat.
Tiga buah kren digunakan bagi mengalihkan runtuhan konkrit dari bahagian bumbung bagi membolehkan pasukan penyelamat memasuki pasar raya, namun mereka khuatir akan berlaku lagi runtuhan.
Punca kejadian masih belum dikenal pasti, namun dipercayai berpunca akibat kerja pembinaan taman di atas bangunan berkenaan. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131123/lu_07/47-terbunuh-bumbung-pasar-raya-runtuh#ixzz2lSPuyCHD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment