Search This Blog

Sunday, November 3, 2013

4 penyamun ‘baru belajar’


Shah Alam: Empat lelaki yang cuba menyamun mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah pasar raya di Kuala Selangor, kelmarin, dipercayai baru berjinak-jinak melakukan jenayah itu.

Ini kerana modus operandi digunakan suspek berusia 23 hingga 27 tahun itu yang masuk melalui bumbung sedangkan mesin terletak di tingkat bawah premis, memudahkan pihak berkuasa menahan mereka.


Sumber berkata, walaupun dilihat amatur, polis tetap menjalankan siasatan sama ada semua suspek pernah terbabit dengan tiga kes cubaan menyamun ATM di daerah ini dan daerah lain sebelum ini.

Menurutnya, suspek kini direman selama empat hari bermula kelmarin hingga esok (Isnin ini) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.


“Hasil semakan juga mendapati semua suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga mendapati mereka negatif dadah,” katanya.


Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, semua suspek berjaya ditahan polis jam 4 pagi, kira-kira lima minit selepas mereka memecah masuk premis berkenaan.

Katanya, dua suspek dicekup di dalam premis manakala dua lagi ditahan di atas bumbung sewaktu mahu memberi dua tangki gas oxy kepada rakan mereka menggunakan kain cadar.


“Suspek memanjat saluran paip di belakang premis sebelum memecahkan pintu bilik mesin bagi membolehkan mereka memanjat bahagian bumbung,” katanya.

“Polis berjaya merampas dua tong gas oxy, kain cadar, topeng ski dan pelbagai peralatan pecah masuk bangunan yang di bawa suspek sewaktu kejadian,” katanya.


Katanya, tindakan pantas polis menggagalkan cubaan suspek untuk memecah mana-mana tiga ATM di dalam premis.

No comments:

Post a Comment