Search This Blog

Saturday, November 23, 2013

33 GRO bawah umur diselamatkan


PULAU PINANG 22 Nov. - Polis berjaya menyelamatkan seramai 33 gadis bawah umur yang terlibat dengan kegiatan pelacuran di negeri ini sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kesemua gadis berkenaan diselamatkan dalam serbuan di pusat hiburan dan pelacuran di seluruh negeri ini.
Katanya, gadis berkenaan terdiri daripada warganegara asing dan tempatan yang bekerja di pusat hiburan dan pelacuran sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO).
"Jumlah gadis diselamatkan ini menunjukkan peningkatan 11 orang berbanding tempoh sama tahun lalu dan kita terus komited untuk memerangi semua kegiatan jenayah di negeri ini," katanya selepas melancarkan pasukan khas Op Cantas Khas Wanita Kontinjen Polis negeri, di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Rahim memberitahu, indeks jenayah negeri menurun 149 kes atau bersamaan dua peratus untuk tempoh 11 bulan tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Namun, katanya, jenayah kekerasan melibatkan samun berkawan tanpa senjata api dan samun tanpa senjata api meningkat 15 peratus atau 178 kes.
"Bagi jenayah harta benda pula menunjukkan penurunan 15 peratus atau 278 kes untuk tempoh Januari hingga 20 November tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Selain itu, jenayah melibatkan wanita seperti rogol, cabul kehormatan, penderaan pembantu rumah dan keganasan rumah tangga pula menunjukkan penurunan 15 peratus atau 73 kes untuk tempoh 10 bulan tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu," ujarnya.
Menyentuh mengenai Op Cantas Khas, Abdul Rahim menegaskan seramai 1,467 orang termasuk 181 dipercayai terlibat dengan kumpulan kongsi gelap ditahan sejak operasi berkenaan dilancarkan pertengahan Ogos lalu.
"Kita juga berjaya merampas pelbagai senjata seperti 11 pucuk pistol, sebutir bom tangan, enam pucuk senjata api tiruan dan 66 kenderaan," jelasnya.
Menyentuh mengenai pasukan khas yang dilancarkan, beliau berkata, pelancaran itu menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama yang mempunyai pasukan Op Cantas Wanita dalam usaha untuk memantapkan lagi pasukan Op Cantas Khas negeri.
"Pasukan wanita ini terdiri daripada dua pegawai dan 18 anggota terlatih yang akan bersama pasukan Op Cantas Khas dan mereka lebih difokuskan untuk membanteras kegiatan jenayah melibatkan wanita dan remaja.
"Selain pasukan khas ini, kita juga akan mula menempatkan anggota wanita terlatih di lokasi strategik seperti di pantai peranginan, pengangkutan awam dan pusat beli-belah bermula minggu depan untuk rondaan dan membanteras jenayah terutama melibatkan golongan wanita," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131123/je_03/33-GRO-bawah-umur-diselamatkan#ixzz2lSU7GAYS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment