Search This Blog

Thursday, November 28, 2013

2 penjenayah maut kereta bertembung lori


IPOH 27 Nov. - Tindakan tiga penjenayah menyamun seorang kakitangan Amanah Ikhtiar di Kampung Temin, Sungai Siput dekat sini, membawa padah apabila dua daripadanya maut setelah kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori hari ini.
Dalam nahas pada pukul 12.30 tengah hari itu, seorang daripada suspek berusia 42 tahun maut di tempat kejadian manakala rakannya berusia 37 tahun mati di Hospital Sungai Siput.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supritendan Azman Salim berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Proton Saga BLM dipandu mangsa dihimpit dan diarahkan berhenti oleh kumpulan suspek yang menaiki kereta Proton Wira.
Katanya, mangsa berusia 22 tahun yang ketika itu dalam perjalanan pulang selepas selesai mengutip wang Amanah Ikhtiar kemudian berhenti sebelum diserang suspek yang bersenjatakan parang.
"Mangsa berjaya keluar dari keretanya. Suspek yang berparang kemudian telah menyamun dan melarikan kereta mangsa.
"Semasa melarikan diri, kereta mangsa yang dilarikan itu telah bertembung dengan sebuah lori di selekoh satu tanah perkuburan di Kampung Temin sehingga mengakibatkan dua penyamun terbabit maut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azman berkata, sejumlah wang Amanah Ikhtiar yang berjaya disamun perompak berkenaan berjaya dijumpai semula.
Katanya, seorang lagi rakan suspek yang memandu Proton Wira itu bagaimanapun berjaya melarikan diri.
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput untuk membantu siasatan," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131128/je_04/2-penjenayah-maut-kereta-bertembung-lori#ixzz2lvCPvH3G
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment