Search This Blog

Saturday, October 12, 2013

Wanita kesal beli vakum robot


CIPTAAN terkini peralatan vakum robot memudahkan kerja-kerja pembersihan rumah tetapi jurujual perlu menunjuk ajar pembeli tentang penggunaannya agar tidak timbul sebarang masalah sehingga menyebabkan peralatan itu mudah rosak. - GAMBAR HIASAN
MEMILIKI pembantu rumah tidak semestinya mampu menyelesaikan segala masalah domestik rumah tangga meskipun setiap majikan membelanjakan wang yang banyak semata-mata untuk mendapatkan khidmat mereka.
Masalah seperti penderaan kanak-kanak, pemalas, lembap, tidak tahu membuat kerja rumah dan sering bergayut di telefon merupakan antara aduan yang diterima daripada majikan tentang sikap pembantu-pembantu rumah.
Kejadian-kejadian seperti itulah yang menghantui kebanyakan wanita dalam mencari pembantu rumah.
Justeru, bagi mengelakkan masalah seumpama itu, seorang wanita, Teh Leng Guan membeli sebuah mesin moden berupa robot yang mampu mengambil tugas membersihkan rumahnya.
Vakum robot yang menggunakan kuasa bateri itu mampu bertindak dan bergerak sendiri sebaik sahaja mengesan kotoran dan benda-benda yang berselerak.
Pun begitu, selepas beberapa bulan menggunakan vakum robot yang dibeli dengan harga RM2,999 itu, peralatan tersebut mula menimbulkan masalah.
Menyedari 'pembantu rumahnya' itu bermasalah, Leng Guan menghubungi talian khidmat pengguna syarikat yang menjual peralatan tersebut untuk membuat aduan.
Wanita itu terkejut apabila dia bukan sahaja dipersalahkan oleh syarikat berkenaan kerana tidak menghadiri sesi taklimat sebelum membeli produk tersebut, malah dia turut dimarahi.
Syarikat terbabit meminta Leng Guan supaya membetulkan semula (reset) robot vakum itu tetapi wanita itu mengakui dia kurang arif dan tidak faham dengan istilah yang digunakan.
Tanpa berputus asa, wanita tersebut cuba mendapatkan cakera padat (CD) yang mengandungi panduan penggunaan peralatan itu di salah sebuah cawangan syarikat tersebut, namun usahanya sia-sia apabila CD tersebut tidak berfungsi dengan baik.
Panggilan demi panggilan turut dibuat kepada syarikat tersebut, namun tidak dilayan.
Kecewa dengan tindakan syarikat itu, Leng Guan memfailkan aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di ibu negara dan kes tersebut didengar di hadapan Presidennya, Maznah Haron baru-baru ini.
Selepas meneliti keterangan kedua-dua pihak, Maznah memerintahkan syarikat penjual peralatan itu membaiki vakum robot tersebut dalam tempoh tujuh hari dari tarikh award itu diputuskan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131012/ma_04/Wanita-kesal-beli-vakum-robot#ixzz2hTNJSlP0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment