Search This Blog

Friday, October 4, 2013

Wanita cuba rempuh bangunan Capitol


Imej daripada rakaman video stesen televisyen Alhurra menunjukkan polis mengepung kenderaan mewah jenis Infiniti berwarna hitam yang cuba merempuh bangunan Capitol di Washington, Amerika Syarikat, kelmarin. - AGENSI
WASHINGTON 4 Okt. - Polis Amerika Syarikat (AS) menembak mati seorang pemandu wanita selepas polis mengejar suspek dari White House melalui pusat bandar ini ke bangunan Capitol, semalam.
Anggota-anggota Kongres dan pelancong bertempiaran lari menyelamatkan diri setelah terdengar bunyi tembakan dilepaskan polis yang cuba menghentikan kenderaan mewah jenis Infiniti berwarna hitam dipandu wanita itu bersama seorang kanak-kanak berusia setahun.
Ketua Polis Washington, Cathy Lanier berkata, suspek telah disahkan mati, namun polis enggan mendedahkan identiti dan motif wanita itu sementara siasatan masih dijalankan.
Dua anggota penguatkuasa yang enggan dikenali bagaimanapun mendedahkan suspek ialah Miriam Carey, 34, dari Stamford, Connecticut.
''Kanak-kanak itu dianggarkan berusia setahun dan dalam keadaan baik serta diletakkan di bawah perlindungan,'' katanya.
Menurut Lanier, polis melepaskan tembakan di dua lokasi bagi menghentikan kenderaan yang dipandu oleh wanita itu.
Beliau berkata, seorang anggota polis Capitol dan ejen Perkhidmatan Rahsia juga mengalami kecederaan dalam kejadian itu.
''Mereka (polis) melakukan apa yang sepatutnya untuk menghentikan suspek yang berada dalam kenderaan daripada melanggar perimeter keselamatan di dua lokasi itu,'' katanya.
Menurut pegawai AS, insiden mengejar itu bermula dari 'luar perimeter' keselamatan White House dengan kereta suspek merempuh halangan dan seorang pegawai Perkhidmatan Rahsia.
''Tiada tembakan dilepaskan di White House, namun ejen bertindak mengejar kenderaan itu dan ketika kereta tersebut menghampiri bangunan Capitol, tempat Kongres bersidang, ia telah disekat oleh anggota keselamatan,'' kata pegawai itu.
Sementara itu, ibu kepada suspek Idella Carey berkata, anak perempuannya itu mengalami tekanan jiwa selepas melahirkan anak pada Ogos lalu.
Katanya, anak perempuannya itu tidak mempunyai rekod jenayah dan dia sendiri tidak tahu kenapa dia boleh berada di Washington, D.C. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131005/lu_02/Wanita-cuba-rempuh-bangunan-Capitol#ixzz2goDpdx1m
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment