Search This Blog

Saturday, October 26, 2013

Unit penyelam bantu cari mangsa hilang dalam banjir


PASUKAN Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Bomba dan Penyelamat dikerahkan bagi usaha mencari dan menyelamat mangsa yang hilang akibat banjir kilat yang melanda awal pagi Rabu lalu di Lembah Bertam, Cameron Highland hari ini. - BERNAMA
CAMERON HIGHLANDS 26 Okt. - Usaha mencari dan menyelamat seorang warga Indonesia yang hilang dalam kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam di sini, diteruskan hari ini termasuk melibatkan sepasukan penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata pasukan yang terdiri daripada seorang pegawai dan empat anggota itu akan melakukan selaman di tiga kawasan iaitu di Empangan Salini, Jeram Kampung Manson ke Kampung Susu dan di Jeram Kampung Susu ke Kampung Salini.
"Pihak berkuasa turut memperluas kawasan mencari di empat zon sepanjang 20km menyusuri Sungai Bertam. Unit anjing pengesan dan jentera berat turut digunakan dalam usaha itu," katanya kepada pemberita mengenai usaha mencari dan menyelamat yang bermula 9 pagi ini.
Selain pasukan penyelam, ia turut melibatkan 11 pegawai dan 86 anggota keselamatan.
Wan Mohd Zahari berkata usaha mencari akan diteruskan sehingga 7 malam, jika tiada sebarang halangan seperti cuaca buruk.
Selain mangsa yang hilang, kejadian banjir lumpur yang berlaku kira-kira 1 pagi Rabu lalu itu, turut mengorbankan tiga nyawa selain memusnahkan puluhan rumah dan kenderaan. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131026/je_08/Unit-penyelam-bantu-cari-mangsa-hilang-dalam-banjir#ixzz2iw7Vp4Sd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment