Search This Blog

Saturday, October 12, 2013

Tragedi: Titi hitam ragut nyawa

Titi hitam ragut nyawaPihak bomba sedang menjalankan tugas menjejaki mangsa.

ALOR SETAR – Tindakan seorang lelaki menunggang motosikal di laluan landasan kereta api lama yang sudah tidak digunakan, membawa padah apabila dia terjatuh ke dalam Sungai Kedah dan dikhuatiri lemas dalam kejadian 7 pagi semalam.

Saksi, Rokiah Yasin, 70, yang menetap tidak  jauh dari laluan yang dipanggil titi hitam dalam kalangan penduduk setempat berkata, dia tiba-tiba terdengar bunyi percikan air yang kuat seolah ada benda terjatuh ke dalam sungai.

“Makcik segera kejutkan cucu, Che Sofian Abdul Kadir untuk melihat keadaan dan kami ternampak mangsa terkapai-kapai dalam sungai.

"Makcik menjerit minta orang ramai tolong dan beberapa penduduk kampung serta cucu makcik cuba menyelamatkan mangsa," katanya di tempat kejadian, semalam.

Difahamkan, mangsa tidak menggunakan lorong motosikal untuk perjalanan dari Limbong Kapal ke Kampung Pegawai seperti yang biasa digunakan penduduk setempat, sebaliknya menggunakan laluan landasan kereta api bersebelahan. Mangsa yang tidak dikenali itu dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai bersama motosikalnya.

Terapung dekat perangkap sampah

Seorang lagi saksi, Badrul Mukhairi Shabudin, 22, berkata, dia bersama beberapa rakan melihat mangsa yang memakai topi keledar kelihatan terapung di sekitar perangkap sampah, justeru bergegas cuba menyelamatkan menggunakan tali khemah.

Katanya, mereka sempat menjerut leher mangsa ketika timbul kali pertama, bagaimanapun dia membuka kembali jerutan itu.

Malangnya, mangsa masih gagal diselamatkan buat kali kedua dengan menggunakan tali berkenaan.

Difahamkan, badan mangsa tersangkut pada besi landasan kereta api, lalu terjatuh ke dalam sungai yang sedang mengalir deras selepas tergelincir di bahagian tengah laluan terbabit hingga menyebabkan dirinya dihanyutkan arus sungai.

Titi hitam korban nyawa

Sementara itu, Abu Bakar Hashim, 67, yang turut menyaksikan mangsa yang seakan-akan keletihan terjatuh ke dalam sungai, lalu tersangkut pada perangkap sampah sebelum cuba diselamatkan orang ramai.

Manakala, penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, 56, berkata, landasan kereta api terbabit dikenali sebagai titi hitam dalam kalangan penduduk setempat, malah ia sering mengorbankan mangsa tak kira sama ada terjatuh mahupun bunuh diri.

“Kawasan terbabit agak keras, malah menyeramkan terutamanya pada waktu tengah malam. Malah, ada satu ketika seorang penduduk kampung melihat laluan di hadapannya lurus, sedangkan ia sebenarnya menuju ke sungai. Nasib baik, dia dapat diselamatkan,” katanya.

Ahmad menegaskan, penduduk kampung kebiasaannya menggunakan laluan motosikal disediakan, malah tidak pernah menggunakan bekas landasan kereta api lama untuk menuju ke seberang sungai tak kira pada bila-bila masa sekalipun.

No comments:

Post a Comment