Search This Blog

Friday, October 25, 2013

Tragedi Lembah Bertam: 'Keadaan ngeri bagaikan tsunami'


2013/10/25


Foto
MANGSA membersihkan pekarangan rumah masing-masing, semalam.
Foto
SEBAHAGIAN kawasan Lembah Bertam yang masih dipenuhi lumpur akibat limpahan air dari Empangan Sultan Abu Bakar di Cameron Highlands, kelmarin. - Foto L Manimaran


Kaki tercucuk kaca ketika redah banjir selamat isteri, anak

Ipoh: "Air datang bagaikan tsunami dan saya yang ketakutan memeluk anak kecil sambil berlari ke tempat tinggi walaupun betis kanan sangat sakit akibat tertikam kaca pintu rumah,” kata Hoo Kin Wai, 36.

Sambil mengesat air mata mengimbau banjir yang melanda kampungannya di Lembah Bertam di sini, kelmarin, pekebun sayur itu berkata, kejadian jam 1.30 pagi itu mengerikan kerana dia terpaksa segera menyelamatkan ibu, Sin Chai Lin, 69; isteri, Choo Pei Ching, 31, dan dua anaknya, Yun Zi, 4, dan Yun Qie, 8.
Beliau berkata, kakinya tertikam kaca ketika mahu mengopak pintu untuk keluar rumah selepas terdengar jeritan penduduk sebelum melihat air naik dengan pantas di sekeliling rumah.

“Keadaan panik apabila rumah kami bergelap akibat bekalan elektrik terputus. Saya terus mengopak pintu, menyebabkan kacanya pecah lalu menikam kaki, namun kesakitan dirasai tidak dipedulikan dan terus memeluk Yun Zi keluar sambil meminta yang lain mengikuti saya.


Gagal gerak kaki

“Ketika kami berlari menyelamatkan diri ke kawasan tinggi di belakang rumah, kaki kanan saya tidak berasa apa-apa dan gagal digerakkan lagi. Beberapa penduduk membantu membawa saya dan keluarga ke rumah berdekatan dan pemandangan saya mula kabur dan hanya mendengar perbualan orang di sekeliling saja,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB), semalam.
Kin Wai berkata, beliau bernasib baik kerana anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia mengusungnya keluar berjalan kaki hampir 500 meter sebelum dibawa menaiki kereta ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom dan kemudian dipindahkan ke HRPB.


Urat utama kaki putus

“Ketika tiba di hospital, serpihan kaca masih lagi ada dalam betis dan doktor maklumkan urat utama kaki kanan saya putus,” katanya.

Ditanya punca banjir, beliau yakin aktiviti pertanian di bahagian atas kawasan Empangan Sultan Abu Bakar menyebabkan mendapan teruk dalam empangan berkenaan hingga menyebabkan air terpaksa dilepaskan dengan banyak.

No comments:

Post a Comment