Search This Blog

Thursday, October 3, 2013

Tiga penjenayah ditembak mati


Khalid Abu Bakar (kanan), Hadi Ho Abdullah (dua dari kiri) dan Acryl Sani Abdullah Sani (kiri) melihat barangan yang dirampas selepas polis berjaya menembak mati tiga penjenayah dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik, Perak, semalam.
GERIK 2 Okt. - Tiga penjenayah yang dikehendaki kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah termasuk bunuh, curi kenderaan dan samun bersenjata ditembak mati setelah berbalas tembakan dengan polis di Jalan Intan dekat sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 1.40 pagi itu, polis terpaksa menembak kesemua suspek berusia 25 hingga 34 tahun setelah mereka melepaskan tembakan ke arah polis yang cuba menahan mereka.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ketika kejadian, penjenayah yang ditahan oleh sepasukan anggota polis yang menjalankan Op Cantas Khas telah memberhentikan kereta Proton Wira yang dinaiki sebelum mereka secara tiba-tiba mengundurkan kenderaan tersebut.
Beliau berkata, penjenayah kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis menyebabkan anggota pasukan keselamatan terbabit terpaksa membalas tembakan untuk mempertahankan diri.
"Kumpulan penjenayah dari Kelantan ini telah melepaskan beberapa das tembakan sehingga memaksa polis membalas semula tembakan yang membunuh kesemua mereka," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Hadi Ho Abdullah.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kumpulan penjenayah tersebut terlibat dalam kes bunuh seorang peniaga nasi kukus di Paka, Terengganu, dua cubaan bunuh membabitkan ibu tunggal di Kuantan, Pahang dan tiga kes samun bersenjata.
Katanya, pemeriksaan dalam kereta suspek pula menemukan dua pucuk pistol iaitu jenis .38 di bawah paha sebelah kanan penumpang dan sepucuk pistol jenis .22 di bawah tempat kaki pemandu, selain peralatan digunakan untuk memecah masuk rumah dan mencuri kenderaan.
Tambah beliau, siasatan juga mendapati kumpulan terbabit aktif melakukan kegiatan jenayah sejak awal tahun ini dan kesemua mereka memiliki rekod kesalahan lampau.
"Dengan tertumpasnya kumpulan ini, kita percaya telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes jenayah dan kini sedang mengenal pasti sama ada terdapat saki baki ahli kumpulan mereka yang masih bebas.
"Kita juga tidak menolak kemungkinan suspek melakukan jenayah di seluruh negara dan kini sedang mengatur strategi untuk melakukan jenayah di daerah ini," katanya.
Katanya, mayat semua suspek dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131003/je_02/Tiga-penjenayah-ditembak-mati#ixzz2gboNrU4l
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment