Search This Blog

Wednesday, October 9, 2013

Tiga pemancing berenang 40 minit selamatkan diri


2013/10/09
 
Pekan: Tiga pemancing warga asing berenang hampir 40 minit bagi menyelamatkan diri ke pulau berhampiran selepas bot mereka terbalik dan karam dipukul ombak besar di perairan Kuala Pahang, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Mangsa membabitkan dua warga Switzerland iaitu Mark Christoph Haeusseermann dan Gondini Gallis Fravi, kedua-duanya berusia 46 tahun dan pegawai ekspatriat di Kuala Lumpur dan Selangor manakala seorang warga Filipina, Ferdenand Fune, 31, pekerja kilang di ibu kota.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman, berkata bot mangsa dilanda ribut kira-kira jam 6 pagi sebelum berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke Pulau Berhala, kira-kira 20 batu nautika dari Kuala Pahang, dekat sini.

Terdampar 10 jam

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa kemudian terdampar di pulau berkenaan hampir 10 jam sebelum diselamatkan sebuah bot nelayan tempatan yang melihat kelibat mangsa melambai-lambai bagi meminta bantuan kira-kira jam 3 petang semalam.

“Kumpulan nelayan terbabit membawa mangsa ke jeti Kuala Pahang, Pekan, sebelum mereka dihantar ke Hospital Pekan bagi mendapatkan rawatan.

“Tiada kecederaan dialami mangsa dan mereka kemudian dibenarkan pulang ke Rompin bagi mengambil kenderaan mereka yang diletakkan di Jeti Tanjung Gemok,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Yahaya berkata, sebelum kejadian, mangsa memaklumkan mereka berlepas dari Jeti Tanjung Gemok, Rompin, dengan menaiki bot jenis Tomalina sepanjang 7.2 meter, kira-kira jam 3 pagi, Ahad lalu.

“Mereka bertiga sempat bermalam di Pulau Berhala sebelum meneruskan aktiviti memancing pada hari kejadian,” katanya.

Ditemui nelayan

Sementara itu, nelayan yang menyelamatkan mangsa, Roslan Ahmad, 50, berkata beliau bersama rakan nelayannya tiba berhampiran kawasan Pulau Berhala, sekitar jam 2.30 petang kelmarin.

Katanya, mereka keluar dari jeti Kuala Pahang jam 5 pagi untuk menangkap ikan dan terlihat kelibat tiga lelaki melambai ketika mereka hendak mengangkat bubu di kawasan berkenaan.

“Kami kemudian menghampiri mereka sebelum lelaki terbabit memaklumkan bot mereka karam dan meminta bantuan kami untuk membawa mereka ke darat,” katanya dari Kampung Pasir Panjang, dekat sini.

No comments:

Post a Comment