Search This Blog

Wednesday, October 9, 2013

Tiga pelajar PMR ditahan kerana curi motosikal

Tiga pelajar PMR ditahan kerana curi motosikalMohd Nashir (dua,kiri) menunjukkan gambar traktor yang dijumpai semula.

JITRA - Tiga pelajar lelaki yang baru selesai menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) kelmarin, ditahan kerana disyaki mencuri motosikal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, semua suspek yang masih bersekolah ditangkap di rumah masing-masing pagi semalam.

“Bertindak atas maklumat orang awam, kira-kira jam 8 pagi, kita berjaya menahan tiga remaja berumur 15 tahun.

“Polis merampas sebuah motosikal Yamaha RXZ, sebuah motosikal Honda Wave, empat rangka motosikal, empat kulit enjin dan komponen motosikal yang dipercayai sudah dileraikan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, hari ini.

Beliau berkata, kesemua barang rampasan itu dijumpai di sekitar rumah mereka di Baling dan Kupang.

Kita akan buat tahanan lanjut kerana percaya banyak lagi kes yang boleh dikaitkan dengan mereka.

“Hasil maklumat awal, kita masih mencari dua lagi lelaki yang dipercayai turut terlibat,” katanya.

Mohd Nashir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun serta denda.

Sementara itu, polis berjaya menyelesaikan kes kehilangan traktor di sekitar negeri ini dalam tempoh 2010 hingga 2013.

“Hasil siasatan yang kita lakukan terhadap sembilan kes di Kota Setar dan satu kes di Pendang, membawa kepada penahan dua lelaki pada 5 Oktober lalu berumur antara 20 hingga 24 tahun mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Beliau berkata,  siasatan terhadap dua lelaki itu membawa kepada penahanan lima lelaki lain.

“Daripada tangkapan kedua, kita menemui semula tujuh traktor yang dilaporkan hilang. Sementara dua yang lain dibebaskan kerana tidak cukup bukti untuk didakwa di mahkamah,” katanya.

No comments:

Post a Comment