Search This Blog

Tuesday, October 8, 2013

Tidak mengaku salah atas 7 tuduhan rasuah



Kuala Lumpur: Bekas Penolong Pengarah Ukur Bahan Jabatan Kerja Raya Sarawak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tujuh tuduhan menerima RM8,624 daripada sebuah syarikat pembinaan sebagai pembayaran ansuran kereta milik isterinya, enam tahun lalu.

Selepas semua pertuduhan itu dibacakan, tertuduh, Ismail Ahim, 59, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.


Bagi enam tuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima cek RM6,468 melalui akaun milik isterinya, Norinah Abdul Ghani, 57, sebagai pembayaran ansuran kereta kepunyaan wanita itu daripada Inai Kiara Sdn Bhd.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh yang diketahuinya ada kena mengena dengan urusan rasminya sebagai penolong pengarah ketika itu.


Bagi satu lagi tuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan sama dengan menerima cek RM2,156 bagi tujuan sama.


Perbuatan itu didakwa dilakukan di AmBank (M) Berhad, No 1, Jalan Jejaka 2, Taman Maluri, di sini, antara 24 April 2007 hingga 18 Januari 2008.

Bagi semua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Anthony Kevin Morais tidak menawarkan sebarang jaminan, namun peguam Fahri Azzat yang mewakili tertuduh memohon budi bicara mahkamah untuk membenarkan ikat jamin terhadap anak guamnya.

“Tiada risiko untuk tertuduh melarikan diri kerana selama 33 bulan, dia memberikan kerjasama tanpa paksaan ketika siasatan dibuat SPRM.


“Anak guam saya sudah bersara selepas 35 tahun berkhidmat dalam sektor kerajaan tanpa sebarang rekod atau laporan buruk. Dia mempunyai karakter yang baik,” katanya.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM21,000 dan menetapkan 7 November depan untuk sebutan semula kes.

No comments:

Post a Comment