Search This Blog

Saturday, October 19, 2013

Terselamat kereta rentung



Kuala Lumpur: Seorang pemandu kereta Toyota Vios terselamat daripada rentung apabila sempat keluar melarikan diri sebelum kereta dipandunya terbakar di Jalan Tun Razak menghala pusat bandar, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi berhampiran sebuah hotel itu, kereta mangsa dikatakan terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelum terbakar secara tiba-tiba.


Difahamkan pemandu kereta itu seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun berasal dari Bandar Baru Ampang. Beliau hanya mengalami cedera ringan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.14 pagi daripada orang awam mengenai kejadian itu.


“Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat dan Titiwangsa bersama 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.


“Ketika pasukan penyelamat tiba pemandunya sudah tiada dipercayai dihantar ke hospital untuk rawatan. Operasi mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi.

Kejadian itu menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk sehingga lima kilometer dari Setapak, Ampang dan Jalan Tun Razak berikutan ketika itu orang ramai keluar menuju ke tempat kerja masing-masing

No comments:

Post a Comment