Search This Blog

Wednesday, October 9, 2013

Tergamam rumah tinggal rangka

Tergamam rumah tinggal rangkaNormah menunjukkan rumah pusaka yang didiami hangus dijilat api.

PONTIAN - Jeritan penunggang motosikal yang ternampak api dan kepulan asap menyelamatkan sepasang warga emas yang tinggal di sebelah rumah yang sedang dijilat api itu.

Kebakaran kira-kira jam 6 petang kelmarin, memusnahkan keseluruhan rumah pusaka kayu yang didiami seorang ibu tunggal Normah Bidin, 68, di Rimba Terjun

Bagaimanapun, ketika kejadian, penghuni rumah itu tiada di rumah kerana ke bandar untuk membeli barang keperluan untuk membuat nasi lemak dan kuih muih yang dijual setiap pagi.

Menurut Zakiah Bidin, 66, dia hanya menyedari rumah kakaknya mula dijilat api setelah terdengar jeritan seorang penunggang motosikal yang lalu di hadapan rumah mereka.

“Ketika itu hanya saya dan suami (Abdul Ghafar, 72) berada di rumah. Kami terkejut mendengar jeritan dari luar rumah meminta kami keluar kerana rumah terbakar.

“Alangkah terkejut saya melihat rumah kakak yang berada di sebelah rumah kami sedang terbakar,” katanya.

Dia kemudiannya meminta bantuan jiran yang kemudiannya bertindak menghubungi pihak bomba.

Jelasnya, penduduk kampung membantu menyiram air di kawasan rumahnya bagi mengelak api merebak.

“Mujur kami sedar kebakaran itu sedang berlaku dan dapat menyelamatkan diri, asap mula tebal dan kedudukannya terlalu hampir, hanya kira-kira lima meter dari rumah kami,” katanya.

Bagi Normah, dia bersyukur kerana gerak hatinya untuk keluar membeli barang pada hari kejadian menyelamatkan nyawanya.

“Sehari sebelum kejadian, saya mula rasa tidak sedap hati dan bermimpi penduduk kampung datang beramai-ramai di hadapan rumah.

“Saya tidak endahkan mimpi itu dan menganggap ia mainan tidur, rupanya ia menjadi petanda rumah pusaka yang saya diami sejak 50 tahun lalu musnah terbakar,” katanya.

Menurut Normah, dia diberitahu seorang penduduk kampung melalui panggilan telefon mengenai kejadian itu.

“Saya tergamam melihat hanya rangka rumah sahaja yang masih tinggal, habis semua perkakasan rumah terbakar.

“Saya bersyukur kerana adik yang tinggal di sebelah rumah tidak cedera. Buat masa sekarang saya akan menumpang sementara di rumah adik,” katanya.

 Sementara itu, Ketua Balai Bomba Pontian Baru, Zulbairy Sulong berkata, 13 anggota dan dua jentera dari Balai Bomba Pontian Baru dan Jalan Al-Sagoff dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 6.08 petang.

Jelasnya, setiba di lokasi kebakaran, keseluruhan bahagian rumah kayu sudah musnah dijilat api.

“Bagi mengelakkan api dari marak ke rumah sebelah yang begitu hampir kedudukannya, semburan air dilakukan ke dalam bahagian rumah,” katanya.

Ketua kampung kawasan (5) Mukim Rimba Terjun, Daud Sanusi berkata, pihaknya akan membantu Normah membuat permohonan mendapatkan rumah baru.

Katanya, bantuan dari pihak Adun Kukup, Suhaimi Salleh dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seperti makanan dan pakaian telah dihulurkan kepada Normah.

No comments:

Post a Comment