Search This Blog

Sunday, October 13, 2013

Taufan Santi badai Filipina

Taufan Santi badai Filipina
Penduduk terkandas kerana banjir berikutan taufan Santi melanda jalan raya utama San Ildefonso, Bulacan. Vietnam sasaran seterusnya, Thailand juga gusar terima kesan

MANILA: Taufan Santi yang juga dipanggil Nari membadai kawasan utara Luzon awal semalam menyebabkan bumbung bangunan melayang selain membunuh lapan orang dan memutuskan bekalan elektrik terhadap lebih dua juta orang di Filipina.

Ia mula membadai pantai timur Filipina sejak tengah malam Jumaat menyebabkan banyak pokok tumbang selain kabel elektrik sambil melalui kawasan pertanian di pulau utama itu, kata pegawai.
“Banyak pokok besar tumbang. Kru membersihkan kawasan membawa gergaji untuk membuka semula jalan raya,” kata wartawan bebas Britain, James Reynolds dari bandar Baler, kawasan paling teruk dibadai.


“Angin semakin laju. Ia datang dari arah laut tanpa henti selama empat jam,” kata Reynolds yang masuk ke hotel dua jam sebelum taufan melanda.

Ketika Nari bergerak lebih jauh sambil membawa hujan, selonggok besar lumpur jatuh ke berek polis di bandar Magalang, membunuh seorang pegawai yang menunggu untuk keluar memberi bantuan, kata Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan.

Seorang lagi pula maut terkena kejutan elektrik di bandar Candaba selepas satu talian kuasa ditimpa pokok tumbang membawa kematian tiga lagi kerana mengenai sebuah kenderaan, kata jurucakap majlis, Rey Balido.

Dua kanak-kanak dan seorang tua lagi lemas di wilayah Bulacan yang dinaiki air di banyak kawasan, kata gabenor Wilhelmino Alvarado kepada stesen televisyen ABS-CBN.
Di bandar San Ildefonso, Bulacan, Frankie Gracia, 30, hampir dihanyutkan air dan sempat ditarik oleh dua anggota polis ketika dia cuba menyeberangi jalan raya.

Taufan itu juga menyebabkan penduduk 37 bandar bergelap di seluruh bahagian tengah Luzon, kata agensi pertahanan awam.

Pekerja bantuan awam sudah dilihat membersihkan jalan raya dan memulihkan bekalan tenaga yang dijangka mengambil masa dua hari, kata Nigel Lontoc, pegawai agensi bencana.

Seramai 2.1 juta penduduk di kawasan berkenaan kini tiada bekalan elektrik.

Nari juga diramal mula melanda Vietnam esok dan membawa angin selaju 157 kilometer sejam, mengikut data pusat amaran taufan tentera laut dan udara Amerika Syarikat.

Beberapa minggu lalu, Vietnam dilanda taufan Wutip.

Taufan itu merosakkan banyak infrastruktur khususnya di wilayah Quang Binh, Quang Tri, Thua Thien-Hue dan Ha Tinh.

Lebih 219,000 kediaman rosak atau musnah, pokok tumbang, talian elektrik rosak dan haiwan ternakan mati.

Thailand juga bimbang akan menerima kesan daripada taufan itu ketika banjir di beberapa wilayahnya semakin surut.

Pegawai berhadap, taufan itu akan mengikut haluannya dengan lalu di timur Thailand sebelum lemah serta tidak masuk ke wilayah timur dan tengah yang masih bah.

Pejabat Air Kebangsaan dan Dasar Pengurusan Banjir serta Jabatan Kaji Cuaca sedang memantau taufan itu.

Nari dijangka melanda Vietnam pada hari Selasa dan Rabu sebelum dijangka lemah menjadi ribut tropika dan membawa sedikit hujan di Thailand, kata jabatan berkenaan.

Jangkaan terbaru oleh agensi kaji cuaca menyatakan, taufan itu akan masuk ke Thailand dari sebelah timur laut.

Setiausaha Agung agensi pengurusan air, Supoj Tovichakchaikul, berkata dia berharap Nari akan bergerak ke utara dan mengisi air dalam empangan Bhumibol di daerah Tak yang ketika ini 47 peratus saja kapasiti airnya.

Bagaimanapun, sebaik taufan mendekati kawasan sebelah timur dan tengah, ia akan memburukkan keadaan banjir dan memaksa empangan Pasak Jolasid di Lop Buri melepaskan lebih banyak air.

Ini sudah pun menjejaskan sungai di muara Sungai Pasak dan Chao Phraya.

Paras air di Pasak Jolasid sudah berada di tahap 112 peratus melebihi keupayaannya dan jika hujan pengendalinya akan melepaskan lebih banyak air.

Bagaimanapun, Supoj menolak sebarang kemungkinan banjir besar akan melanda seperti yang berlaku dua tahun lalu.

Pasak Jolasid boleh menguruskan 960 juta padu air tetapi ia sudah menyimpan 1.076 juta padu ketika ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bencana Alam dan Jabatan Menyekat Bencana, Chartchai Promlert menjanjikan bantuan kewangan 33,000 baht (RM3,300) setiap isi rumah yang terjejas kerana banjir tidak kira kecil atau besar. - AGENSI

No comments:

Post a Comment