Search This Blog

Wednesday, October 9, 2013

Tapak tangan tembus ditembak perompak

Tapak tangan tembus ditembak perompakYANG Ho Chai, 62, menunjukkan tangannya yang cedera di tembak penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Taman Impian, Jalan Changkat Jong, dekat Teluk Intan, awal pagi tadi. - Foto S Ravale Teluk Intan: Seorang warga tua nyaris maut apabila satu das tembakan dilepaskan seorang daripada dua penjenayah yang memecah masuk rumahnya, menembusi tapak tangan mangsa dalam kejadian rompakan bersenjata di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Yang Ho Chai, 62, yang juga peraih buah sawit dikatakan terjaga untuk membuang air kecil sebelum terdengar bunyi bising di bahagian bawah rumah dua tingkat yang didiaminya di Taman Impian, Jalan Changkat Jong, di sini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata mangsa yang tinggal berseorangan pergi menyiasat sebelum terserempak dengan dua lelaki bertopeng putih menyelongkar sebuah bilik menyebabkan mangsa mencapai sebilah parang dan cuba menyerang kedua-dua suspek.


Katanya, seorang suspek yang menyedari kehadiran mangsa, sebaliknya mengacukan sebilah parang manakala seorang lagi memegang pistol yang ditutup dengan kain sambil memberi amaran akan menembaknya jika tidak segera membuang parang yang dipegangnya.

Cedera di tangan kanan

“Bagaimanapun, belum sempat tuan rumah melakukan apa-apa, suspek terus melepaskan satu das tembakan mengenai tangan kanan mangsa sehingga parang dipegangnya terlepas daripada genggaman. Dalam keadaan kelam-kabut itu, kedua-dua suspek melarikan diri sebaik menyedari mangsa terkena tembakan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa yang berlumuran darah kemudian menghubungi polis dan setiba di tempat kejadian mendapati keadaan rumah berselerak manakala sebuah kenderaan jenis Ford Fiesta yang diletakkan di depan rumah, didapati hilang.
“Mangsa kini dirawat di Hospital Teluk Intan (HTI) dan keadaannya dilaporkan stabil. Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api dan kedua-dua suspek kini masih diburu,” katanya.

No comments:

Post a Comment