Search This Blog

Tuesday, October 15, 2013

Tangan remaja putus ditemui dalam kereta


Dungun: “Allah, Allah, sakit,” rintih seorang remaja yang putus tangan kanan dan hancur di bahagian kelangkang ketika anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) memberi pertolongan kecemasan kepadanya selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 89, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Bukit Bauk, dekat sini, semalam.

Dalam kemalangan jam 12.30 tengah hari itu, orang ramai membantu mencari tangan mangsa yang putus di sekitar tempat kejadian sebelum seorang daripada mereka menjerit menemuinya di dalam kenderaan yang bertembung dengan motosikal mangsa. Wan Nur Irfan Wan Mohamad, 16, dari Kampung Tok Kah, di sini dan masih menuntut di Pusat GiatMARA Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), di sini, bagaimanapun disahkan meninggal dunia dua jam selepas diberi rawatan kecemasan di Hospital Dungun.


Ketua Polis Daerah Dungun Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung sebuah Naza Citra.

Katanya, ketika kejadian mangsa dari Dungun ke Paka manakala Naza Citra dipandu Mohd Fadir Masri, 51, bersama dua anaknya, Mohamad Farul Danish, 4, dan Mohamad Farul Zahfif, 2, dalam perjalanan dari Kerteh untuk mengambil anaknya di Sekolah Menengah Sains Dungun, di sini.


“Pertembungan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak di atas cermin depan kereta yang menyebabkan tangannya putus dan jatuh ke tempat duduk sebelah pemandu Naza Citra terbabit,” katanya.


Sementara itu, ibu mangsa, Normariah Ali, 40, berkata, dia bersama suami dan lima anaknya termasuk arwah, bangun awal pagi untuk makan sahur bersama-sama kerana sudah berjanji untuk melakukan ibadat puasa, semalam.

“Arwah anak kedua daripada lima beradik dan sebelum kejadian, dia memberitahu mahu keluar sekejap.


“Saya sempat berpesan supaya pulang cepat kerana akan bertolak ke kampung di Besut untuk menyambut Aidiladha,” katanya.

Normariah berkata, pada jam 2 petang, dia menerima panggilan telefon daripada seorang ahli keluarganya memaklumkan arwah anaknya itu meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan.


“Saya sangat terkejut dan tidak menyangka dia terbabit dalam kemalangan jauh dari kampung dan sehingga sekarang, tidak tahu tujuan arwah ke sana,” katanya.

No comments:

Post a Comment