Search This Blog

Tuesday, October 29, 2013

Taliban kena penjara 20 bulan


2013/10/29
Seremban: Suspek pengedar dadah dikenali sebagai Taliban, yang melarikan diri selepas menanduk perut polis pengiringnya awal bulan lalu, dihukum penjara 20 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh, Kishminderjit Singh Bahadar Singh, 39, yang membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak, dalam rayuannya turut meminta maaf kepada semua pihak kerana menyedari tindakan itu menyusahkan mereka.
Berdasarkan pertuduhan, dia yang ditahan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985) dengan sengaja melepaskan diri daripada jagaan Koperal Ismail Jamil, 50, dan Konstabel Nashrul Azlan Mohammad, 24, di tempat letak kenderaan kawasan rehat Plaza Tol Setul, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) Nilai, di sini, antara jam 7.50 hingga 10.55 pagi pada 1 September lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tanduk perut polis

Berdasarkan fakta kes, Kishminderjit Singh menanduk perut Ismail, menyebabkan anggota polis itu terjatuh sebaik van dinaiki mereka dilanggar dari belakang oleh sebuan PROTON Satria di kawasan itu, sebelum tertuduh melarikan diri menaiki kereta terbabit.

Tertuduh sebelum itu mengadu mahu membuang air menyebabkan polis pengiringnya memberhentikan van di kawasan berkenaan bagi membolehkan dia dibawa ke tandas.
Kishminderjit Singh yang mempunyai lapan kesalahan lampau, ditahan semula di sebuah rumah dekat Semenyih, Selangor, dalam serbuan sepasukan anggota Polis Negeri Sembilan, jam 8.45 malam pada 3 September lalu.

Dalam rayuannya, Kishminderjit Singh turut meminta dihantar menjalani hukuman itu di Penjara Simpang Renggam dengan alasan lokasi itu lebih dekat dengan keluarganya, tetapi Siti Khairiah mengarahkan dia menjalani hukuman itu di Penjara Seremban.

No comments:

Post a Comment