Search This Blog

Saturday, October 12, 2013

Tahap So2 di Tangkuban Perahu berbahaya


BANDUNG, Jawa Barat - Aktiviti gunung berapi yang berlaku di kawasan Gunung Tangkuban Perahu terutamanya di lubang baharu di Kawah Ratu telah mengakibatkan pelepasan gas beracun iaitu sulfur dioksida (So2) ke ruang udara.
"Hasil kajian pasukan geokimia mendapati, sebaran gas So2 yang dihasilkan berjumlah 10.1 bahagian per juta (PPM),'' kata Ketua Pasukan Pemantau Bencana Gunung Tangkuban Perahu dari Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), Hetty Triastuti kepada KOMPAS.com.
Hetty berkata, sebaran gas So2 yang keluar dari kawah tersebut berada pada tahap yang membahayakan kerana ia melepasi tahap normal iaitu 2 PPM.
Bagaimanapun jelasnya, penyebaran gas tersebut tidak melibatkan kawasan yang luas dan hanya berlegar di sekitar bibir kawah yang sering dijadikan sebagai kawasan letak kereta bagi pengunjung yang datang ke sini.
"Gas itu hanya tersebar di kawasan bibir kawah dan kini bergerak ke arah barat daya bersama abu halus,'' ujar Hetty.
Bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini, PVMBG menyeru orang ramai supaya tidak mendekati kawasan Kawah Ratu dari jarak 1.5 kilometer.
Selain itu, Taman Wisata Alam Tangkuban Perahu turut ditutup daripada sebarang aktiviti lawatan sehingga satu tempoh yang belum ditetapkan.
Sebelum ini, Gunung Tangkuban Perahu yang terletak di antara daerah Subang dan Bandung Barat meletus sebanyak tiga kali pada 7 Oktober lalu.
Petugas PVMBG, Ilham Mardikayanta berkata, dua letusan awal mengeluarkan abu, asap dan gas yang menyelubungi ruang udara sejauh 350 meter dari dasar Kawah Ratu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131012/lu_07/Tahap-So2-di-Tangkuban-Perahu-berbahaya#ixzz2hTLSsf1Y
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment