Search This Blog

Saturday, October 12, 2013

Sindiket seleweng LPG subsidi tumpas, dua pemandu ditahan


PEGAWAI dan anggota penguat kuasa KPDNKK memeriksa paip yang diubahsuai untuk memindahkan gas petroleum cecair (LPG) subsidi ke dalam tangki di sebuah kilang di Pekan Nanas, Pontian, Johor, malam semalam.
PONTIAN 11 Okt. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri menumpaskan sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) subsidi dalam serbuan ke atas sebuah kilang di Jalan Sawah, Pekan Nanas di sini tengah malam tadi.
Ketua Bahagian Penguatkuasaannya, Roslee A. Hamid berkata, dalam serbuan pukul 12.30 tengah malam itu, pihaknya menahan dua pemandu lori berusia 30-an dan 40 tahun manakala beberapa pekerja lain melarikan diri.
Susulan itu kata beliau, pihaknya merampas 616 tong gas LPG kosong, 90 tong gas LPG berisi, dua lori tangki, sebuah lori kargo am dan peralatan memindahkan gas berkenaan yang keseluruhannya berjumlah RM600,000.
Menurutnya, gas daripada tong LPG domestik muatan 14 kilogram ini akan dipindahkan terlebih dahulu ke dalam sebuah tangki simpanan yang boleh menampung kira-kira 10,000 kilogram gas LPG.
"Sindiket ini mengaut keuntungan dengan menjual semula gas memasak tersebut yang menerima subsidi kerajaan sebanyak RM1.80 bagi setiap kilogram kepada pihak industri," katanya di sini hari ini.
Roslee memberitahu, sindiket tersebut dipercayai telah beroperasi sejak tiga bulan lalu dan pihaknya kini sedang mengesan penyewa bangunan kilang berkenaan bagi membantu siasatan.
Kes tersebut katanya, disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan kesalahan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131012/je_03/Sindiket-seleweng-LPG-subsidi-tumpas-dua-pemandu-ditahan#ixzz2hTLuFWKs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment