Search This Blog

Thursday, October 3, 2013

Sindiket jual diesel tumpas


DUA pegawai PPDNKK Muar memeriksa peralatan memindah minyak semasa melakukan serbuan ke atas sebuah gudang menyimpan dan mengedar diesel subsidi di Jalan Haji Kosai, Muar, Johor, malam semalam.
MUAR 2 Okt. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Muar menumpaskan satu sindiket menjual diesel bersubsidi dan merampas kira-kira 5,000 liter bahan api itu di sebuah gudang di Jalan Dato Haji Kosai di sini malam tadi.
Ketuanya, Mohamad Bashaabidin Ali berkata, dalam serbuan pukul 11 malam itu, pihaknya terpaksa memecah masuk gudang yang sengaja dibina di belakang sebuah kilang logam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Beliau berkata, gudang tersebut dipercayai mula digunakan sejak Februari lalu sebagai transit menyimpan diesel subsidi sebelum dihantar kepada pelanggan di sekitar daerah ini dan Ledang jika ada tempahan terutama daripada pihak industri.
"Hasil serbuan itu, kita menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang dipercayai dalang kegiatan haram tersebut dan merampas diesel bernilai RM10,000," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati gudang tersebut mempunyai tangki minyak dengan kapasiti 20,000, 16,000 dan 12,000 liter di atas empat lori sudah diubah suai.
Beliau berkata, suspek yang ditangkap mengakui sudah menjalankan aktiviti itu selama enam bulan dan mendapatkan bahan api tersebut dari stesen-stesen minyak di sini.
Bashaabidin berkata, pihaknya turut memeriksa sebuah rumah milik suspek di Simpang Jeram, Bakri dekat sini kerana disyaki turut dijadikan lokasi menjual diesel subsidi.
Walau bagaimanapun katanya, dalam serbuan itu, hanya peralatan untuk memindah diesel ditemui.
Katanya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun jika disabitkan kesalahan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131003/je_08/Sindiket-jual-diesel-tumpas#ixzz2gbnV04aQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment