Search This Blog

Saturday, October 19, 2013

Simbahan asid cemburu


Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Kuala Lumpur: Seorang wanita berusia 33 tahun cedera parah di muka selepas disimbah asid oleh bekas teman lelakinya dipercayai bermotifkan cemburu, ketika mangsa tidur di rumahnya di Jalan Raja Laut, di sini, Khamis lalu.

Lebih kejam, dalam kejadian jam 11 pagi itu, suspek berusia lewat 30-an dilapor turut memukul muka mangsa menggunakan topi keledar selepas menyimbah cecair berkenaan.


Menurut sumber, tidak cukup dengan seksaan itu, wanita berkenaan kemudian dikurung pula di rumah terbabit lebih tiga jam sebelum mangsa meloloskan diri dengan bantuan rakan serumahnya. Malah, suspek dilapor turut melarikan wang tunai dan telefon bimbit milik wanita berkenaan dianggarkan bernilai hampir RM1,000.

Selepas meloloskan diri, mangsa dibantu rakannya membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini.


Menceritakan semula kejadian itu, sumber itu berkata, mangsa yang tidur sendirian di rumahnya terjaga selepas mengalami kesakitan di muka.


“Mangsa melihat bekas teman lelakinya memegang satu botol berisi cecair,” katanya.

Sumber itu berkata, penderitaan mangsa tidak berakhir di situ malah dalam keadaan dia meronta-ronta menahan kesakitan, suspek memukul kepalanya menggunakan topi keledar pula.


“Ketika itu, mangsa hanya mampu menjerit meminta pertolongan selain merayu dikasihani. Rayuan mangsa tidak diendahkan lelaki terbabit yang dilapor bertindak semakin agresif dengan menendang wanita terbabit,” katanya.

Menurutnya lagi selepas dipukul lebih 30 minit, suspek mengurung mangsa dalam bilik di rumahnya sebelum melarikan diri bersama telefon bimbit dan wang tunai milik wanita terbabit.


Katanya, mangsa hanya meloloskan diri daripada kurungan tiga jam kemudian apabila rakan serumahnya pulang sebelum membantunya.


“Terkejut melihat kecederaan dialami mangsa, rakan wanita terbabit bergegas membawanya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.


Sumber itu berkata, usaha mengesan suspek giat dijalankan pihak polis. “Pihak berkuasa percaya punca kejadian itu bermotifkan cemburu,” katanya.


Harian Metro difahamkan, mangsa mengalami kecederaan parah di muka dan dirawat di HKL namun keadaannya dilaporkan stabil.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.

No comments:

Post a Comment