Search This Blog

Thursday, October 3, 2013

Sanggup curi dalam masjid

Sanggup curi dalam masjidGelagat seorang lelaki mencuri beg tangan jemaah wanita ketika sedang bersolat berjaya dirakamkan CCTV dan tersebar melalui laman facebook.

GEORGETOWN - Heboh dalam laman sosial facebook apabila gelagat seorang lelaki mencuri beg jemaah wanita yang sedang bersolat berjaya dirakamkan melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV).

Memalukan apabila pencuri berkenaan cuba bertindak ‘bijak’ dengan mengambil beg tangan wanita ketika kesemua jemaah wanita sedang sujud.

Setiausaha Kariah Masjid Hashim Yahaya, Zambri Abdul Rahman berkata, perkara tersebut amat memalukan kerana mencuri ketika orang lain sedang melakukan ibadat.

Menurutnya, Masjid Hashim Yahaya turut tidak terlepas dengan pelbagai kecurian barang lain termasuk basikal, helmet dan juga dompet.

“Kami cuba memantapkan lagi tahap keselamatan di masjid dengan memasang empat lagi CCTV di luar masjid, tempat letak tabung masjid dan juga pejabat.

“Kami tidak boleh meletakkan CCTV di bahagian wanita kerana bimbang timbul isu lain, namun pendekatan lain diambil ialah dengan meletakkan papan amaran yang meminta mereka supaya menjaga barang berharga,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kariah Masjid Al Huda Sungai Ara, Zainudin Haniff berkata, kariah mendapati sasaran utama pencuri di situ adalah kasut berjenama.

Menurutnya, kebiasaannya yang menjadi mangsa adalah orang luar termasuk jemaah yang singgah sekejap untuk bersolat.

“Bagi orang tempatan di sini memang sudah tahu kalau pakai kasut berjenama datang ke masjid sudah pasti akan dicuri, jadi ramai yang hanya pakai selipar sahaja," katanya.

Beliau berkata, selain itu kariah juga menggunakan pendekatan nasihat kepada setiap jemaah ketika waktu Solat Jumaat bagi mengurangkan kes kecurian di masjid.

Menurutnya, sebelum khutbah dibacakan slot selama 30 minit diambil.

“Pada masa itu kami menasihati jemaah supaya menjaga anak-anak mereka daripada gejala mencuri dan menjaga barang berharga.

“Sedikit sebanyak ini  membantu mengurangkan masalah kecurian,” katanya.

No comments:

Post a Comment