Search This Blog

Tuesday, October 29, 2013

Ribut terburuk landa Eropah


SEBATANG pokok tumbang menghalang kelancaran lalu lintas selepas ribut melanda Brighton, selatan England, semalam. - AFP
LONDON 28 Okt. - Lebih 300,000 buah rumah terputus bekalan elektrik di seluruh utara Eropah hari ini, dengan perkhidmatan keretapi dan kapal terbang terpaksa dibatalkan selepas ribut melanda rantau itu sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga orang terkorban.
Seorang remaja perempuan dan lelaki pertengahan umur maut selepas ditimpa pokok di selatan England begitu juga seorang wanita di Amsterdam, selepas ribut membadai Britain, Perancis dan Belanda.
''Seorang remaja Britain berusia 17 tahun dan lelaki yang berusia dalam lingkungan 50 an terkorban selepas pokok menimpa kereta yang mereka naiki dalam dua kejadian berasingan.
''Manakala seorang lagi mangsa terkorban ketika sedang berjalan berhampiran terusan,'' kata polis.
Cuaca buruk turut memaksa pasukan penyelamat menangguhkan usaha menyelamat seorang remaja berusia 14 tahun yang dihanyutkan dari pantai di East Sussex di pantai selatan England.
Menurut ahli meteorologi, angin kencang sehingga 159 kilometer sejam melanda selatan England dan selatan Wales, hari ini.
Met Office mengeluarkan amaran angin berstatus 'jingga' bagi benua itu, ketiga tertinggi daripada empat peringkat dengan menggesa orang ramai tidak menggunakan kenderaan buat sementara untuk ke tempat kerja eko ran cuaca buruk.
Keadaan kelam kabut di London bermula selepas syarikat kereta api, First Capital Connect, C2C, Greater Anglia, Southern dan Gatwick Express mengeluarkan kenyataan mereka tidak akan mengendalikan operasi, hari ini sehingga keadaan kembali selamat.
Operasi di lapangan terbang Heathrow turut terjejas dengan 30 penerbangan dijangka dibatalkan, manakala perkhidmatan kereta api Eurostar turut menghentikan operasi pada awal pagi ini, langkah yang diikuti oleh pengendali feri.
Sebanyak 20 dan 40 milimeter hu jan diramalkan turun dalam tempoh antara enam dan sembilan jam semasa ribut itu dikesan menuju ke arah timur Britain dengan potensi mengakibatkan banjir di kawasan terjejas.
Di utara Perancis, kira-kira 75,000 buah rumah bergelap selepas angin kencang selaju 139 kilometer membawa kerosakan kepada saluran bekalan elektrik.
Media tempatan Britain menggelarkan angin kencang itu sebagai 'Ribut St. Jude', selepas membandingkan bencana yang sama pada 1987 yang mengorbankan hampir 18 penduduk di negara ini dan menumbangkan kira-kira 15 juta pokok. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131029/lu_03/Ribut-terburuk-landa-Eropah#ixzz2j56mnH5y
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment