• Ribut: Gelas pecah, peti sejuk terbalik Jah menunjukkan kelengkapan elektrik biliknya yang mengalami kerosakan (kiri) dan seorang penduduk menunjukkan keadaan bumbung rumah yang diterbangkan angin.
  • Ribut: Gelas pecah, peti sejuk terbalik
  • Ribut: Gelas pecah, peti sejuk terbalik Ahli keluarga Zulkifli berteduh di bahagian kediaman yang masih berbumbung.
  • Ribut: Gelas pecah, peti sejuk terbalik Keadaan sebuah rumah penduduk yang mengalami kerosakan.
< 1 / 4 >
ALOR SETAR - “Tiba-tiba gelas pecah, air menitis memasuki rumah, peti sejuk terbalik, kediaman cerah serta-merta,” demikian dakwaan seorang mangsa ribut, Zulkifli Lebai Yaakob, 52 yang terkejut melihat bumbung rumahnya diterbangkan angin.

Difahamkan, dalam kejadian jam 11.55 pagi kelmarin, kira-kira lima daripada 12 kediaman penduduk di Kampung Pulau Binjal, Mukim Tajar, dekat sini, mengalami kerosakan serius akibat dilanda ribut.

Zulkifli berkata, kebiasaannya, hanya isteri dan cucu sahaja berada di rumah, namun secara kebetulan semasa kejadian, dia baru pulang dari tempat kerjanya di sekolah berhampiran.

“Rasanya, saya baru sahaja buka kasut untuk memasuki rumah, namun dalam sekelip mata sahaja tidak sampai seminit, bumbung kediaman kami telah tiada akibat dibawa pusaran angin terbabit dipercayai puting beliung.

“Saya tidak dengar sebarang bunyi kuat, jadi saya tak sangka bumbung akan diterbangkan angin hingga separuhnya jatuh berdekatan rumah jiran, manakala selebihnya terbang sejauh 500 meter masuk kawasan hutan,”
katanya.

Menurut Zulkifli, ribut tidak pernah melanda kawasan ini, yang mana cuaca pada hari itu juga baik, cuma hujan renyai sahaja.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat dan tidak cedera, namun lebih 11 ahli keluarganya terpaksa menumpang berteduh di  Dewan Umno Kampung Pulau Binjal.

Ia berikutan hanya kawasan dapur terselamat, manakala kira-kira 70 peratus bumbung kediaman Zulkifli dibawa angin sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM16,000 akibat pelbagai kelengkapan perabot dan elektrik rosak.

Tidak sempat padamkan dapur

Sementara itu, Che Om Che Nik, 67, berkata, dia terkedu seketika sewaktu mendengar bunyi objek besar dan kuat seolah-olah sedang menghentam kediamannya, malah turut mengangkat satu persatu bumbung zink dapurnya itu.

Katanya, sewaktu kejadian, dia yang berada betul-betul di bawah zink dapur untuk memasak nasi sememangnya terkejut, namun sempat melarikan diri bersama cucunya.

“Semasa ribut melanda kediaman kami, saya tidak ingat apa-apa selain ingin menyelamatkan diri kami berdua kerana tiang kayu rumah mulai jatuh satu persatu . Malah, api dapur pun tidak sempat dipadamkan sebab terlalu
takut,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, dia masih trauma berhubung kejadian itu hingga kakinya masih terketar-ketar untuk berjalan kerana dirasakan tidak selamat.

Kaki terpaku

Bagi Jah Hamid, 74, sebab terlalu takut dengan kejadian ribut yang pertama kali berlaku itu, kakinya terpaku hingga terpaksa menyelamatkan diri dalam rumah sahaja.

Katanya, dia terkejut mendengar bunyi bising sehingga kakinya seolah-olah tidak dapat bergerak untuk menyelamatkan diri, malah mengalirkan air mata ketakutan sebab hanya bersendirian di rumah ketika itu.

Situasi dialami kebanyakan mangsa ribut berkenaan, bagaimanapun mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Binjal, Yaacob Said, 70, yang meminta bantuan anak buahnya untuk membantu mangsa terlibat.

Justeru, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan demi meringankan kesulitan dialami mangsa ribut berkenaan boleh melakukannya dengan Tabung Bencana Alam Kampung Pulau Binjal mahupun melalui Bank Muamalat di atas nama JKKK Kampung Pulau Binjal (0201-0001-489-71-9).