Search This Blog

Friday, October 25, 2013

Remaja ditembak mati kerana raifal mainan


Gambar dikeluarkan Pejabat Syerif Sonoma menunjukkan raifal mainan dibawa Andy Lopez Cruz ke rumah rakannya, apabila dia ditembak mati syerif di Santa Rosa, California, kelmarin. - REUTERS
SANTA ROSA, California 24 Okt. - Seorang remaja lelaki yang membawa sebuah replika raifal AK-47 ke rumah rakannya, ditembak mati oleh syerif kerana menyangka ia senjata sebenar, di sini kelmarin.
Kejadian itu berlaku sehari selepas seorang murid berusia 12 tahun menembak mati gurunya di sebuah sekolah di Nevada.
Bapa mangsa, Rodrigo Lopez berkata, anaknya, Andy Lopez Cruz, 13, ditembak ketika dalam perjalanan menuju ke rumah rakannya sambil membawa replika raifal tersebut.
"Saya amat sedih dengan apa yang berlaku dan saya telah kehilangan anak saya," katanya ketika melancarkan demonstrasi aman di luar bangunan Dewan Perbandaran Santa Rosa, semalam.
Leftenan Paul Henry yang menyiasat kes itu berkata, dua syerif dilaporkan berkawal di sebuah jalan berhampiran rumah mangsa ketika dia dilihat membawa replika senjata tersebut.
"Seorang daripada syerif yang melihat mangsa dari arah belakang terus menjerit mengarahkan dia meletakkan senjata, tanpa mengetahui mangsa adalah seorang remaja.
"Mangsa yang terkejut dengan keadaan itu berpusing ke arah syerif dan dia dilihat seolah-olah mengacukan replika tersebut ke arah mereka, menyebabkan tembakan dilepaskan dan mengenainya," katanya.
Henry menjelaskan bahawa terdapat perbezaan antara raifal sebenar dengan raifal permainan.
"Raifal permainan berukuran lebih pendek dan mempunyai warna yang lebih terang berbanding senjata sebenar," ujarnya.
Polis turut menemukan sepucuk pistol permainan di dalam seluar mangsa. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131025/lu_03/Remaja-ditembak-mati-kerana-raifal-mainan#ixzz2ijm5O300
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment