Search This Blog

Saturday, October 12, 2013

Polis tangkap 476 individu


MOHD. Rodwan Mohd. Yusof (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian barangan rampasan, antaranya DVD cetak rompak, ubat-ubatan dan rokok dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 11 Okt. - Polis berjaya memberkas 476 individu termasuk warga asing kerana terlibat dalam kegiatan menjual cakera padat digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) cetak rompak di seluruh negara sejak Januari hingga September lalu.
Hasil tangkapan itu, polis merampas 354,193 keping barangan cetak rompak berkenaan yang dianggarkan bernilai lebih RM1.7 juta.
Anggaran tersebut berdasarkan sekeping DVD dan VCD cetak rompak yang dijual dengan harga RM5 hingga RM8 di pasaran.
Antara kejayaan terbesar adalah tangkapan membabitkan dua lelaki warga Bangladesh berusia 23 dan 33 tahun oleh sepasukan polis melalui Op Cantas Khas yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di sebuah premis di Jalan Ipoh, Sentul di sini, kelmarin.
Pengarah JSJK II Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof berkata, dalam serbuan pada pukul 10.30 pagi itu, polis telah merampas 76 keping salinan DVD filem Hindi, 11,030 keping DVD cetak rompak, 300 keping risalah DVD dan wang tunai RM3,100.
Beliau berkata, turut dirampas ialah 34,729 paket dan 376,765 biji pil serta 915 botol pelbagai jenis ubat dan 450 karton rokok jenama Modeng.
"Kesemua DVD, ubat dan rokok yang dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM391,000 iaitu termasuk RM300,000 nilai ubat, manakala RM50,000 DVD," katanya dalam sidang akhbar di pejabat JSJK di Kompleks Kerajaan Bukit Perdana di sini hari ini.
Selain tangkapan di Jalan Ipoh, Mohd. Rodwan berkata, semalam, pihaknya turut membuat serbuan di lima premis menjual DVD dan VCD haram di sekitar Puchong dan Subang Jaya, Selangor bermula pukul 6 petang hingga 10 malam.
Dalam serbuan itu, katanya, polis telah menahan empat lelaki termasuk seorang warga Indonesia dan merampas 919 keping DVD dan VCD lucah, tanpa sijil perakuan B (10,258 keping) dan wang tunai RM635.
Dalam operasi di Negeri Sembilan pula, beliau berkata, polis telah memberkas 14 individu dan berjaya menyelesaikan 17 kes di bawah Akta Penapisan Filem, pecah amanah jenayah, memiliki VCD dan DVD lucah serta penipuan.
"Suspek terdiri daripada 13 lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun telah dituduh di mahkamah mengikut kesalahan yang dilakukan," ujarnya.
Beliau berkata, Op Cantas Khas bermula 26 September lalu yang dijalankan bersama dengan JSJK dari Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan itu bertujuan untuk mengesan dan menangkap suspek terlibat dalam penjualan DVD dan VCD haram serta kes penipuan dan pecah amanah jenayah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131012/je_04/Polis-tangkap-476-individu#ixzz2hTMGTU62
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment