Search This Blog

Saturday, October 26, 2013

Polis tahan 3 ahli keluarga pengawal

RM20,000 turut ditemui dipercayai sebahagian hasil rompakan

Polis tahan 3 ahli keluarga pengawal
Ardi Hamza 
Shah Alam: Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita yang juga ahli keluarga kepada pengawal keselamatan yang menembak mati kakitangan Ambank di USJ Sentral 2, Subang Jaya, Selasa lalu.
Berikutan itu, polis Selangor turut menemui wang tunai RM20,000 dipercayai antara sebahagian jumlah keseluruhan wang rompakan berjumlah RM450,000 yang dilarikan suspek.


Difahamkan suspek utama yang dikenali sebagai Ardi Hamza, 37, dan ahli keluarganya berasal dari Sulawesi, Indonesia serta sudah bekerja di negara ini kira-kira dua tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata siasatan awal mendapati dua lelaki itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah gedung perniagaan di Subang Jaya manakala wanita terbabit dipercayai isteri kepada suspek.

“Polis menahan ketiga-tiga ahli keluarga mangsa pada hari yang sama kejadian berlaku, di sebuah rumah di Kota Kemuning, Klang, manakala wang itu pula ditemui di gudang perniagaan tempat mereka bekerja.

“Bagaimanapun, suspek dan dua saudara lelakinya bekerja dengan syarikat keselamatan yang berbeza. Selain itu, suspek utama dan ahli keluarganya itu menggunakan kad pengenalan palsu dan polis sedang menunggu pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara.
Ditahan reman 14 hari

“Mereka ditahan reman 14 hari dan setakat ini mereka disiasat mengikut Akta Imigresen kerana berada di negara ini secara tidak sah. Polis akan buka kertas siasatan lain kalau siasatan lanjut menemui unsur lain, termasuk bagaimana mereka dapat kad pengenalan palsu,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, semalam.

Mohd Shukri berkata, pihaknya percaya suspek masih berada di negeri ini dan sudah mengetatkan kawalan di pintu sempadan seperti di lapangan terbang dan pelabuhan serta meminta bantuan Interpol.

Dalam kejadian itu, pegawai operasi cawangan AmBank, Norazita Abdul Talib, 37, maut ditembak dari jarak dekat oleh pengawal keselamatan premis itu yang menyamun bank berkenaan.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata, polis kini memburu individu yang bertanggung jawab menyebarkan gambar kematian Norazita.

Katanya, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Tak akan tolak ansur

“Kita tidak akan bertolak ansur dengan pegawai atau anggota polis serta orang awam yang menyebarkan gambar mangsa ini. Adalah satu kesalahan untuk menyebarkan gambar seumpama itu dan laporan mengenainya sudah dibuat.

“Setakat ini polis masih menjalankan siasatan dan ingin ingatkan semua pihak supaya tidak sesekali mengulanginya pada masa hadapan,” katanya.

No comments:

Post a Comment