Search This Blog

Thursday, October 3, 2013

Petani dijel 10 tahun, 10 sebatan

Petani dijel 10 tahun, 10 sebatanTertuduh dikawal anggota polis ketika dibawa masuk ke mahkamah untuk dihukum, semalam.

KOTA BHARU - Seorang petani menerima padah apabila dihukum penjara 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas mengaku salah memiliki 10.31 gram heroin di sebuah rumah di Labok, Machang, Julai lalu.

Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus terhadap Muhamad Zuni Abdullah, 32, dari Kampung Dewan Kecil, Labok.

Tertuduh mengaku memiliki dadah itu di sebuah rumah di Kampung Lalang Luas pada jam 7.25 malam, 22 Julai.

Tertuduh ditahan sepasukan polis pada Ops Ronda Cegah Jenayah yang terserempak dengan kereta dipandu tertuduh ketika melalui kampung itu.

Polis mengekori tertuduh hingga ke sebuah rumah lalu bertindak menyerbu rumah berkenaan. Berlaku pergelutan ketika usaha menahannya berikutan tertuduh melawan anggota serbuan.

Pemeriksaan lanjut menjumpai lima botol plastik lut sinar berisi serbuk putih dadah berbalut dengan akhbar berbahasa Cina tersimpan di dalam beg galas yang dibawa tertuduh ketika turun dari kereta.

Pada prosiding semalam, tertuduh memohon hukumannya diringankan berikutan dia insaf dan menyesal dengan kesalahan yang dilakukan.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusuf bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh.

“Dadah adalah musuh nombor satu negara. Saya mohon mahkamah juga mempertimbangkan jenis dadah dimiliki, lebih-lebih lagi ia tersimpan dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

Hukuman diarah berkuat kuasa daripada tarikh tertuduh ditahan, hari serbuan.

No comments:

Post a Comment