Search This Blog

Friday, October 4, 2013

Pesara bank, 5 rakan didakwa tipu jual beli emas


Mohammad Tahassam (depan) dan Mohd. Azrul Zakaria (dua dari kiri) dibawa untuk dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melakukan penipuan melibatkan urus niaga emas di Ipoh, semalam.
IPOH 4 Okt. - Seorang pesara bank dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima tuduhan melakukan penipuan melibatkan jual beli emas membabitkan 44 bentuk loket dan lima bentuk cincin bernilai lebih RM160,000, dua tahun lalu.
Mohammad Tahassam, 62, menghadapi satu tuduhan melakukan jenayah itu bersama seorang rakannya, Abdul Wahab Yaakob, 71, manakala empat lagi pertuduhan dia melakukannya sendiri melalui persubahatan empat rakannya yang lain.
Keempat-empat rakannya itu terdiri daripada seorang pemandu teksi yang juga adik kepada Abdul Wahab iaitu Mohd. Nor. 65; tukang cat, Burhan Alang, 41; pembantu peribadi, Mohd. Azrul Zakaria, 39; dan pekerja kilang, Muzapar Azidin, 39.
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka oleh jurubahasa di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret, Puteri Nordina Kamaluddin kira-kira pukul 12 tengah hari.
Kesemua mereka yang dibawa ke mahkamah dengan menaiki dua buah kereta peronda kira-kira 10 minit sebelum itu juga dilihat hanya bersahaja sambil bercakap-cakap antara satu sama lain ketika prosiding berlangsung.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohammad bersama-sama Abdul Wahab didakwa menipu seorang lelaki, Voon Hin Chean, 45, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tujuh bentuk loket yang digadai mereka di Agrobank di sini adalah tulen sedangkan barang kemas itu sebenarnya palsu.
Tindakan mereka itu didakwa telah mendorong Hin Chean menyerahkan wang tunai berjumlah RM32,394.24 kepada kedua-dua tertuduh di bank tersebut di alamat No. 15 dan 17, Persiaran Greentown 5, di sini pada 2 April tahun lalu sedangkan mangsa tidak akan menyerahkan wang itu jika tidak diperdayakan.
Empat lagi kes melibatkan dua pertuduhan menipu masing-masing terhadap dua Penolong Servis Pelanggan Ar-Rahnu di bank sama iaitu Youn Faizal Ismail Ikram, 41, dan S. Kamala, 38, di alamat yang sama pada 21 September 2011.
Mohamad didakwa memperdayakan Youn Faizal dan Kamala supaya mempercayai bahawa 37 bentuk loket dan lima bentuk cincin kesemuanya bernilai RM131,450 yang masing-masing digadai oleh Mohd. Nor, Burhan, Mohd. Azrul dan Muzapar di bank tersebut adalah tulen sedangkan barang kemas itu adalah palsu.
Mohd. Nor, Burhan, Mohd. Azrul dan Muzapar didakwa telah bersubahat melakukan kesalahan tersebut bersama-sama Mohammad.
Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin antara RM5,000 dan RM23,000 masing-masing dengan seorang penjamin.
Puteri Nordina juga menetapkan 7 dan 8 Oktober ini untuk sebutan semula kes itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131005/je_02/Pesara-bank-5-rakan-didakwa-tipu-jual-beli-emas#ixzz2goEW4F2J
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment