Search This Blog

Saturday, October 26, 2013

Penyamun Amerika Latin tumpas

Shah Alam: Walaupun beberapa sindiket pecah rumah dianggotai suspek dari Amerika Latin berjaya ditumpaskan, namun masih ada yang tidak serik dan terus menjadikan negara ini sebagai ‘lubuk’ mendapatkan wang mudah.
Terbaru, sindiket itu terbabit dalam satu kejadian pecah rumah di rumah seorang pensyarah wanita di Seksyen 8, di sini, Jumaat lalu menyebabkan mangsa mengalami kerugian lebih RM30,000. 
Namun, kelicikan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 dan 44 tahun yang juga suspek utama dalam kes berkenaan berjaya dicekup polis dalam dua tangkapan berasingan oleh sepasukan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, kelmarin.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, tiga lelaki dan seorang wanita masing-masing warga negara Colombia dan Peru termasuk Sepanyol ditahan susulan penahanan dua suspek yang menaiki sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kota Kemuning, di sini, jam 11 malam, Rabu lalu.

“Dengan bantuan satu pasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, kereta yang dinaiki suspek berjaya ditahan walaupun kedua-dua suspek cuba melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan anggota polis ke atas kereta yang dinaiki suspek, polis menemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah pecah rumah,” katanya ketika ditemui pada sidang media di IPK Selangor, semalam.

Mohd Shukri berkata, penahanan kedua-dua suspek membawa kepada tangkapan dua lagi rakan mereka yang diberkas polis kira-kira jam 4 pagi kelmarin.

“Seorang daripada suspek yang ditahan membawa dua pasukan anggota polis dari IPD Shah Alam dan IPK Selangor ke tempat penginapan mereka di sebuah hotel di Sri Petaling, Kuala Lumpur sebelum menahan dua lagi lelaki,” katanya.

Katanya, pihak polis merampas pelbagai barangan berharga antaranya beberapa komputer riba, sebuah komputer tablet iPad, jam tangan berjenama, beg tangan berjenama dan barang kemas serta telefon bimbit.

No comments:

Post a Comment