Search This Blog

Sunday, October 13, 2013

Penjenayah tersilap tembak mangsa


KEADAAN Nurul Atikah yang berdarah akibat cedera di muka dan tangan.


KOTA BHARU - Empat penjenayah bersenjatakan pistol disyaki telah tersalah sasaran apabila melepaskan tembakan ke arah seorang suri rumah hingga mengakibatkan mangsa cedera di muka dan tangan dalam kejadian di depan Balai Polis Binjai di sini kelmarin.
Kejadian pukul 6.40 petang itu berlaku ketika Nurul Atikah Sidek, 22, didatangi empat penyangak menaiki dua buah motosikal ketika mangsa sedang memberhentikan kereta jenis Proton Persona bercermin gelap di simpang empat di depan balai polis tersebut.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Bachok ke Kubang Kerian.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, salah seorang daripada suspek memakai topi keledar itu kemudian terus melepaskan tembakan ke arah kereta mangsa sebelum melarikan diri ke arah Bachok.
"Ketika kejadian, suri rumah tersebut memandu bersendirian. Tembakan itu mengakibatkan mangsa cedera ringan di hidung dan lengan dipercayai terkena serpihan cermin kereta dan tembakan.
"Pemeriksaan menemui lima kesan tembakan iaitu dua pada cermin pemandu, satu di pintu dan dua pada cermin penumpang depan. Satu peluru turut ditemui," katanya.
Tambahnya, siasatan awal mendapati penjenayah mungkin tersilap sasaran kerana mangsa mendakwa dia tidak pernah mempunyai masalah dengan sesiapa.
Mangsa kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1013&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2hYNuJwlS 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment