Search This Blog

Friday, October 25, 2013

Pengedar dadah dari Afrika ditembak


Petaling Jaya: Cubaan dua lelaki Afrika melarikan diri selepas kegiatan pengedaran dadah terbongkar tidak berjaya apabila seorang daripada suspek cedera ditembak dalam kejadian di Blok C, Pangsapuri Desa Mentari, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12.45 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 20-an dikatakan baru selesai menjalankan urus niaga dengan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang menetap di kawasan itu.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, sebelum kejadian dua anggota polis dari Balai Polis Sungei Way melakukan rondaan jenayah di kawasan pangsapuri sebelum menahan lelaki tempatan itu dalam keadaan khayal sedang bersendirian.

“Hasil soal siasat terhadap lelaki itu memberitahu dia mendapatkan bekalan dadah jenis Syabu daripada dua lelaki Afrika dan polis menahan lelaki itu untuk siasatan lanjut.


“Pemeriksaan lanjut di sekitar pangsapuri, polis terserempak dengan dua lelaki Afrika dalam keadaan mencurigakan dan menahan mereka untuk soal siasat. Bagaimanapun, kedua-dua lelaki terbabit melarikan diri sejurus menyedari anggota itu menghampiri mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, semalam.


Menurut Arjunaidi, kedua-dua anggota terbabit mengejar suspek hingga ke tingkat empat blok berkenaan sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

Katanya, seorang suspek mengeluarkan pistol dan cuba menembak anggota polis, namun tindakan pantas anggota terbabit berjaya melepaskan satu das tembakan terlebih dulu bagi mempertahankan diri.


“Tembakan itu mengenai bahu kanan rakannya menyebabkan suspek bersenjatakan pistol itu melarikan diri. Suspek yang cedera kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment