Search This Blog

Wednesday, October 9, 2013

Pasar raya C-Mart runtuh


Sebuah jentera bomba kelihatan di hadapan gudang borong C-Mart yang runtuh bumbung dan dindingnya di Bandar Darul Aman, Jitra, Kubang Pasu, semalam.
Pelbagai barangan rosak selepas dinding dan bumbung gudang borong C-Mart runtuh di Bandar Darul Aman, Jitra, Kubang Pasu, semalam.
KUBANG PASU 8 Okt. - Penduduk di sekitar kawasan industri Bandar Darul Aman, Jitra di sini gempar apabila sebuah pasar raya yang dibuka sejak lebih dua bulan lalu runtuh hari ini.
Runtuhan pukul 8.40 pagi itu melibatkan dinding dan bumbung bahagian tepi bangunan yang menempatkan barangan jualan seperti pakaian dan kasut berjenama.
Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan memandangkan pasar raya tersebut hanya memulakan operasi pada pukul 10 pagi meskipun dua pekerja penyelenggaraan memasuki premis itu sebelum kejadian.
Difahamkan, pasar raya tersebut yang beroperasi sejak penghujung Julai lepas tidak mempunyai sijil layak menduduki (CF).
Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu, Zahari Ismail berkata, berikutan kejadian itu, bangunan tersebut dianggap tidak selamat untuk diduduki dan diarah tutup serta-merta.
Katanya, pihaknya juga dalam proses mengambil tindakan undang-undang ke atas pemilik bangunan terbabit.
"Pemeriksaan mendapati pemilik bangunan memperoleh kelulusan merancang untuk membina gudang namun dipercayai menyalahgunakan kelulusan dengan mendirikan bangunan komersial.
"Gudang ini dan lot premis di kawasan ini diarah tutup bagi membolehkan pihak kami dan agensi berkaitan melakukan kajian teknikal," katanya di sini hari ini.
Pekerja penyelenggaraan, Abdul Rohim Talib, 33, memberitahu, dia bersama seorang rakannya memasuki premis itu kira-kira pukul 8.30 pagi bagi membuka lampu dan pejabat.
Ketika berada dalam bangunan itu, katanya, dia terdengar bunyi retakan disusuli runtuhan siling kira-kira lima meter dari tempatnya berdiri.
"Saya dan rakan bergegas keluar dan semasa berada di luar bangunan, saya dapat melihat dinding dan bumbung runtuh," katanya.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Ibrahim Mohd. Yusuf berkata, lebih 20 anggotanya dikerahkan mengawal kawasan tersebut bagi mengelak sebarang kecurian.
Dalam pada itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Jitra, Mohammad Darus berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.55 pagi dan mengerakkan seramai 10 anggota ke lokasi kejadian.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131009/je_01/Pasar-raya-C-Mart-runtuh#ixzz2hBk6cxyS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment