Ketiga-tiga suspek disyaki aktif melakukan jenayah berkenaan ditahan polis secara berasingan di sekitar Port Dickson dan Bahau pada 9 dan 12 Oktober lalu oleh pasukan khas ditubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abdul Manan Mhd Hassan berkata, daripada penahanan ketiga-tiga suspek tersebut, polis berjaya menemui semula sembilan kenderaan mewah yang dicuri beserta aksesori yang keseluruhannya bernilai hampir satu juta ringgit dalam dua serbuan berasingan.

Menurutnya, polis menahan seorang lelaki berumur 48 tahun di Port Dickson setelah menerima laporan dibuat mangsa pada 12 September lalu, selain risikan dijalankan.

“Hasil maklumat, pasukan khas itu menahan suspek dan menemui tiga kenderaan mewah yang dicuri jenis Mercedes Benz, Toyota Estima dan BMW,” katanya.

Polis turut menahan seorang lelaki dan wanita dalam satu lagi serbuan dilakukan di Bahau pada 12 Oktober lalu.

"Hasil soal siasat diperoleh daripada pasangan kekasih berusia 32 dan 23 tahun itu, polis menjumpai semula enam kenderaan dipercayai dicuri pasangan terbabit,” katanya.     

Hasil pemeriksaan, kesemua kenderaan mewah itu dicuri di sekitar Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Daripada semakan rekod, empat kenderaan mewah itu dicuri di negeri ini, dua kenderaan dicuri di Kuala Lumpur, sebuah Toyota Estima dan Kia Optima masing-masing dicuri di Johor dan Selangor. Bagaimanapun, sebuah BMW yang dicuri masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di IPK Negeri Sembilan, dekat sini, semalam.

Abdul Manan berkata, polis percaya kesemua suspek berkenaan menggunakan modus operandi sama iaitu memecah masuk rumah sebelum melarikan kereta mangsa untuk dijual kepada pembeli.

"Suspek pertama yang mempunyai satu rekod jenayah lampau, serta pasangan kekasih yang mempunyai 14 rekod," katanya .

Abdul Manan meminta orang ramai yang mengenali Chang Siok Fang, bernombor kad pengenalan 740118-01-5712 dengan beralamat terakhir No.117 Taman Tangkak Jaya, 84900, Tangkak Johor, untuk tampil bagi membantu siasatan polis.