SABAK BERNAM – Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Besar, di sini, atas tuduhan memiliki sebuah motosikal curi Suzuki RGV 110, 27 Mei lalu.

Tertuduh, Mohamad Salhairri Moktar, 38, yang beralamat di No 164, Blok S/17, Felda Seroja Jengka 18, Temerloh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Shah Wira Abdul Halim.

Dalam keterangan membela diri itu, tertuduh merayu kepada mahkamah supaya meringankan hukuman memandangkan dia ketika itu mengalami gangguan mental selain mempunyai tanggungan seorang isteri dan tiga orang anak.

“Saya mengaku salah, tetapi memohon jasa baik tuan (majistret) supaya meringankan hukuman disebabkan saya ada (mempunyai) bukti (rekod) sakit mental selain perlu menyara isteri dan anak masih kecil,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pegawai Pendakwa, Izza Munirah Mansor, meminta mahkamah supaya mengenakan hukuman setimpal kepada tertuduh bagi memberi pengajaran kepadanya dan orang awam lain supaya tidak menyimpan sebarang hasil curi.

Mengikut fakta kes, motosikal itu didapati hilang ketika seorang pengadu wanita ingin membeli barang meletakkan motosikalnya di hadapan sebuah kedai kek di Perhentian Bas Sabak Bernam, kira-kira jam 1.10 petang, 15 Mei lalu.
Hasil siasatan dan semakan polis, kira-kira jam 11.30 malam, 27 Mei lalu mendapati tertuduh memiliki motosikal curi itu yang diletakkan di sebuah rumah No 40 Ladang Sungai Erong, Ulu Bernam, Perak kepunyaan seorang lelaki seperti mana yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Bagaimanapun, tertuduh berjaya ditahan oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Temerloh ketika membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori yang dipandunya dalam keadaan mencurigakan.

Pemandu lori dan dua kelindannya itu ditahan di Jalan Haji Ahmad Shah, Temerloh kira-kira jam 3.15 petang, 30 September lalu.

Tertuduh disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barangan curi yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda jika sabit kesalahan.